Saturday, 28 December 2019

#SungaiPetani Bom mortar ditemui di tapak pembinaan

Sebutir bom lama jenis Mortar 81 mm ditemukan di kawasan tapak pembinaan di Jalan Metro-Sri Wang, di sini, semalam, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supt Shamsudin Mamat.


Beliau berkata, bom terbabit ditemukan bersalut tanah dan lumpur serta berkarat oleh seorang lelaki yang merupakan pekerja sebuah syarikat pembersihan di kawasan tanah lapang di situ yang kemudian memaklumkannya kepada polis.


“Sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda digerakkan ke lokasi dan hasil pemeriksaan mendapati bom berukuran 59 cm panjang dan ukuran lilit 35 cm itu disifatkan masih aktif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya, lokasi bom itu ditemukan terletak kira-kira 400 meter dari kawasan perumahan dan ia bukan kawasan tumpuan awam.


“Bom terbabit telah dialihkan dan akan dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom hari ini, di satu lokasi selamat,” katanya. ­— Bernama

No comments:

Post a Comment