Thursday 12 December 2019

#KualaKurau Kapal syarikat China kena sekatan AS elak maritim di Perak

Sebuah kapal minyak, yang data perkapalan menunjukkan ia diurus sebuah syarikat China yang dikenakan sekatan Amerika Syarikat, enggan membenarkan pemeriksaan pihak berkuasa ketika berlabuh di perairan Malaysia, kata agensi maritim.

Pengurus komersial Silvana III adalah Kunlun Shipping Co Ltd, menurut laman ketelusan perkapalan, Equasis.org.

Kunlun antara beberapa syarikat yang dikenakan sekatan AS tahun ini atas dakwaan penglibatan dalam mengangkut minyak dari Iran.





Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) berkata Silvana III, yang berlabuh berdekatan Kuala Kurau pada 5 Dis, tidak patuhi arahan menurunkan tangga bagi membolehkan penguatkuasa melakukan pemeriksaan.

Selepas beberapa cubaan mengarahkan kapal itu menurunkan tangga tidak dipatuhi, kapal itu menarik sauh dan meninggalkan kawasan itu, kata APMM dalam kenyataan di Facebook pada Isnin.

Laporan polis dibuat terhadap kapal itu kerana menurunkan sauh tanpa kelulusan dan kapal itu akan ditahan jika ditemui, katanya.

Catatan Facebook APMM tidak merujuk kepada pemilikan atau pengurusan kapal itu dan tidak sebut tentang sekatan AS.

Selepas Reuters meminta butirannya hari ini, catatan APMM di Facebook diturunkan. Jurucakap APMM berkata catatan itu dikeluarkan kerana kejadian sedang disiasat dan tiada butiran lanjut akan didedahkan ketika ini.

Data pengesan kapal di Refinitiv Eikon menunjukkan kapal itu berhenti menghantar data lokasi daripada sistem pengenalpastian automatiknya (AIS) antara 30 Nov dan 9 Dis.


Transponder Silvana III dipasang pada Rabu, menunjukkan kapal itu menuju ke perairan barat laut Malaysia dan berlayar menuju ke Langkawi, menurut data pengesan.

Equasis.org, laman ketelusan perkapalan yang ditubuhkan oleh Suruhanjaya Eropah dan Pentadbiran Maritim Perancis menunjukkan kapal itu milik sebuah syarikat bernama Silvana Ltd dan bawah jagaan Kunlun Shipping Co Ltd.

Laman itu berkata pengurus kapal dan pengurus komersial adalah Kunlun dan ia menyenaraikan Cosco Shipping Seaman Ship Management sebagai ISM manager, peranan yang melibatkan keselamatan pengurusan dan operasi sebuah kapal di laut.

Kapal itu, yang menukar namanya daripada Tian Ma Zuo kepada Silvana III pada 1 Nov, pernah menjadi milik Pegasus 88 LTd antara Januari dan November, kata data Equasis.

Selain Kunlun, Pegasus 88 dan Cosco Shipping Tanker (Dalian) Seaman & Ship Management Co Ltd juga dikenakan sekatan AS. Silvana Ltd tidak tersenarai.

Kunlun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen kerana nombor talian yang berdaftar tiada dalam perkhidmatan. Panggilan ke Cosco tidak berjawab. Reuters tidak temui butiran perhubungan bagi Pegasus 88 dan Silvana Ltd.

AS mengenakan semula sekatan ke atas Iran tahun lepas, mengatakana ia mahu mengurangkan eksport minyak negara itu menjadi sifar.

Washington mengambil langkah menarik diri daripada perjanjian 2015 antara Tehran dan 6 kuasa dunia yang bertujuan untuk mengehadkan program nuklear Iran- FMT

No comments:

Post a Comment