Mayat wanita warga Myanmar ditemui di dalam bilik di rumahnya dalam keadaan berbalut dengan selimut.
Lebih mengerikan, mayat mangsa ditemui dengan pisau masih tercucuk di leher.
Memetik AWANI, mayat mangsa, Yoon Hati Htike, 29, ditemui selepas polis memecah masuk bilik tidur di tingkat 19 Kondominium Park View Harbour Palace, Butterworth pada jam 10.30 malam semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, pihaknya menerima laporan daripada majikan mangsa mengenai kehilangan Yoon pada petang Isnin.
Difahamkan, Yoon yang bekerja sebagai pembantu klinik dikesan hilang selepas tiga hari tidak datang ke tempat kerja.
"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati terdapat kesan tikaman dengan pisau masih lagi terlekat di leher mangsa.
"Polis percaya mangsa telah meninggal dunia sejak 13 hari bulan lalu," katanya.
Majikannya mendakwa, Yoon pernah mengadu mengalami masalah rumah tangga dan kali terakhir pengadu bertemu mangsa adalah pada jam 10.30 malam, Jumaat lalu.
"Suaminya pernah ugut bunuh dan pengadu menasihatkan mangsa supaya buat laporan polis," katanya lagi.
Berdasarkan keadaan mayat, pihaknya percaya mangsa meninggal dunia tiga hari lalu.
Berikutan itu, polis kini mengesan suami mangsa, Mohammad Noor Lal Miah, 29, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment