Saturday 26 October 2019

#NibongTebal Banjir kilat di Pulau Pinang, persiapan Deepavali musnah

J. Premlatha, 47, (kiri) bersama ibu P. Kaliamma, 77, (dua, kanan) serta anaknya G. Haarshinee, 14 (dua, kiri) dan G. Saranya (kanan) membuat persiapan Deepavali walaupun dalam keadaan rumah mereka di Kampung Sethu hari ini dilanda banjir berikutan hujan

“Persiapan dan kuih raya untuk menyambut Deepavali keluarga kami habis musnah”, luah S. Mandres seorang penduduk Kampung Kovil, Jawi di sini selepas rumahnya dilanda banjir kilat awal pagi, hari ini.

Mandres, 48, yang bekerja sebagai pemandu lori di Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berkata rumahnya dinaiki air kira-kira pukul 1.30 pagi hari ini selepas hujan lebat sejak 8 malam tadi dan semua persiapan terutama kuih raya yang baharu siap dimasak turut ditenggelami air.


“Saya dan isteri N. Wani, 45, hanya menyedari rumah dilanda banjir selepas anak sulung mengetuk bilik kami dan beritahu air sudah masuk ke dalam rumah malah tilam tempat tidurnya turut basah. Semuanya berlaku sangat pantas kami sekeluarga jadi panik dan terus menyelamatkan diri.

“Air banjir itu habis kena semua barang persiapan untuk Deepavali. Saya susah hati kerana nak dekat raya dah kalau kena (banjir) hari lain tu tak apa juga...ni nak pergi sembahyang apa pun tak boleh dah,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Jawi, di sini hari ini.


Selain Mandres, 16 keluarga di Kampung Kovil dan Kampung Sethu dipindahkan ke PPS bermula pukul 3.45 pagi ini selepas rumah mereka dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat lebih tiga jam semalam.


Seorang lagi mangsa, B. Mohana, 38, berkata rumahnya di Kampung Sethu mula mengalami banjir kilat pada pukul 8 malam, namun air naik hanya di kawasan perkarangan rumah sebelum ia kembali surut kira-kira dua jam kemudian.

Katanya mereka sekeluarga iaitu ayah, ibu, suami dan dua anaknya terus tidur selepas mendapati air banjir semakin surut sebelum kira-kira pukul 1 pagi ayahnya mengejutkan beliau memberitahu air telah masuk ke dalam rumah.

“Waktu saya bangun tidur memang air telah masuk ke dalam rumah, banyak barang yang kami baru beli minggu lepas habis rosak...almari, kabinet dapur dan sofa itu baru saja beli selepas banjir besar pada 2017 lepas. Deepavali kali ni memang sedih kerana habis semua termasuk baju-baju dan kuih rosak,” katanya.

Beliau berkata air banjir sudah surut tetapi mereka sekeluarga memerlukan masa 12 ke 13 jam untuk bersihkan kesemua barang di dalam rumah yang sudah dibasahi air.

Jirannya, T. Letchumi, 73, berkata air mendadak masuk dari pintu hadapan rumah dan tidak sampai 10 minit, air naik sehingga melebihi paras paha, bagaimanapun dia bernasib baik kerana semasa kejadian adik lelakinya berusia 65 tahun berada di rumahnya dan menyelamatkannya daripada dibawa arus.

“Dua hari lagi hari yang besar (Deepavali) buat kami masyarakat India dan kejadian seperti ini (banjir) berlaku di rumah saya, peralatan elektrik seperti mesin basuh juga rosak akibat air yang melimpah ke dalam rumah,” katanya yang sedih untuk menyambut Deepavali. — Bernama

No comments:

Post a Comment