Tuesday 22 October 2019

Fatwa Syiah sesat tidak ‘suci’, boleh disemak balik, kata mufti Pulau Pinang


Fatwa menetapkan fahaman Syiah sebagai menyimpang boleh disemak semula berdasarkan hujah bahawa fatwa tidak bersifat sakral atau suci di sisi agama, kata Mufti Pulau Pinang Wan Salim Mohd Nor.

Menurut beliau, fatwa tidak lebih daripada ijtihad, iaitu usaha oleh para ulama untuk mencari hukum mengenai isu-isu berbangkit dalam masyarakat yang memerlukan penyelesaian.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata fatwa berkemungkinan betul dan ada kemungkinan salah disebabkan beberapa faktor.

Antaranya, maklumat tidak lengkap, tidak jelas ataupun terdapat perkara yang terlepas pandang ketika sesuatu keputusan dibuat oleh majlis fatwa.




“Justeru, mana-mana fatwa sekalipun boleh disemak semula oleh para ahlinya sekiranya didapati ada keperluan untuk berbuat demikian.

“Ini termasuk fatwa berkaitan fahaman Syiah yang telah diputuskan sebagai menyeleweng oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan diikuti oleh fatwa negeri-negeri di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan ahli akademik Malaysia yang berkhidmat di Singapura, Prof Syed Farid Alatas supaya fatwa mengharamkan Syiah disemak semula susulan serbuan terhadap penganut fahaman itu di Johor dan Selangor, awal bulan lalu.

Syed Farid berkata, tindakan pihak berkuasa terhadap penganut Syiah dalam serbuan itu “tidak berperikemanusiaan dan ganas”.

“Sebutkannya, saya katakan ia sebagai ‘barbaric’,” katanya dipetik 28 Sept lalu.

Apabila ditanya, sama ada keputusan mengharamkan fahaman Syiah di Malaysia disebabkan prasangka dan niat jahat segelintir agamawan, Wan Salim tidak menolak andaian tersebut.


Hal ini, kata beliau, disebabkan ia berpunca daripada sikap segelintir agamawan kurang ilmu dan maklumat yang tepat mengenai mazhab tersebut, selain ia juga diperoleh daripada sumber tidak sahih.

Atas sebab itu, beliau menyeru agar amalan Syiah berbeza dengan Sunnah dikaji daripada sumber-sumber yang berautoriatif dan diiktiraf oleh para ulamanya sendiri.

“Kita yakin dengan memahami sebab perbezaan-perbezaan ini berlaku, dapat mengurangkan prasangka dan salah tanggapan terhadap Syiah.”

Beliau memberitahu, unsur perbezaan dalam semua agama wujud sehingga ke hari ini.

Malah, jelas beliau, antara satu agama pun wujud aliran atau mazhab yang berbeza-beza.

“Jadi terpulanglah kepada para pemikir dan ilmuan untuk menangani perbezaan tersebut.

“Sama ada ingin menjadikannya sebagai elemen untuk bersengketa dan berpecah belah ataupun mengambil sikap toleransi dan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

SUMBER 

No comments:

Post a Comment