Thursday, 27 June 2019
#Penaga penagih dadah ugut bapa kandung dengan pisau
Seorang penagih dadah sanggup mengugut bapa kandungnya di rumah mereka di Kuala Muda, Penanga semalam dengan menggunakan sebilah pisau selepas bapanya enggan memujuk isteri lelaki berkenaan untuk kembali ke pangkuannya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.05 petang itu, suspek berusia 34 tahun bertindak mengugut bapanya yang berusia 62 tahun dengan meletakkan pisau di leher dan dada mangsa.
Selain itu, suspek yang positif dadah jenis Methamphetamin turut mengacukan senjata tajam itu dan melemparkan pisau ke arah ibunya yang cuba mententeramkan keadaan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, berkata bapa suspek kemudiannya membuat laporan polis selepas kejadian itu kerana bimbang suspek akan mengulangi perbuatannya.
“Hasil siasatan mendapati punca kejadian berlaku disebabkan suspek tidak dapat menahan tekanan perasaan dan marah kerana bapanya tidak mahu memujuk isteri suspek untuk pulang ke pangkuannya.
“Selain ibu kandung suspek, turut berada di tempat kejadian ialah dua orang adik perempuan suspek yang turut menjadi saksi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau polis berjaya menahan suspek kira-kira pukul 5 petang semalam untuk siasatan lanjut.
“Suspek juga mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.
“Dia kini ditahan untuk siasatan dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment