Friday, 28 June 2019

Meriam Seri Rambai : Contoh senjata makan tuan



Meriam Seri Rambai yang berada di Fort Cornwallis, Pulau Pinang adalah meriam yang dibuat oleh Belanda pada tahun 1603.

Dua tahun setelah itu, iaitu pada tahun 1605, Belanda telah menghadiahkan atau menjualkan meriam ini pada Kesultanan Johor Lama yang mana pada ketika itu diperintah oleh Sultan Alauddin Riayat Syah III.


Hubungan baik yang terjalin antara Belanda dan Johor antaranya bermatlamatkan mengusir Portugis dari Melaka.

Ironinya, pada tahun 1610, Sultan Alauddin Riayat Syah III menjalinkan hubungan pula dengan Portugis. Hal ini menimbulkan kemarahan Sultan Iskandar Muda di Aceh.

Maka pada tahun 1613, Sultan Iskandar Muda menyerang Johor. Meriam Seri Rambai berjaya dirampas oleh tentera Aceh lalu dibawa ke Aceh. Meriam ini berada dalam simpanan kerajaan Aceh selama 182 tahun.

Pada tahun 1784, berlaku perang antara Belanda dan Selangor disebabkan Belanda berang dengan Sultan Selangor iaitu Sultan Ibrahim kerana baginda membantu bapa saudara baginda iaitu Raja Haji Fisabilillah menentang Belanda.

Kubu Bukit Melawati di Kuala Selangor berjaya ditawan Belanda dan Sultan Ibrahim terpaksa berundur ke Pahang. Sultan Ibrahim membina semula kekuatan angkatan tenteranya di Pahang dengan bantuan Bendahara Tun Abdul Majid.

Pada tahun 1785, Sultan Ibrahim menyerang semula Belanda di Kuala Selangor. Ketika dalam proses menyerang Belanda di Selangor, Sultan Ibrahim mendapat bantuan dari Sultan Aceh yang juga berketurunan Bugis iaitu Sultan  Alauddin Muhammad Syah.

Sultan Aceh telah menghadiahkan meriam Seri Rambai itu kepada Sultan Ibrahim. Maka meriam ini menjadi antara senjata api yang digunakan oleh angkatan tentera Selongor menyerang Belanda.

Sultan Ibrahim akhirnya berjaya memenangi perang tersebut dan Belanda berjaya diusir dari Selangor.

Pada tahun 1871, Tengku Kudin dengan bantuan Inggeris telah menyerang penguasa Kelang iaitu Raja Mahadi di Kuala Selangor. Raja Mahadi yang sebelum itu terpaksa berundur dari Kelang ke Kuala Selangor telah menjadikan kubu-kubu di Kuala Selangor sebagai pusat pertahanannya.

Dalam serangan itu, Inggeris telah berjaya menawan meriam Seri Rambai dan membawanya ke Pulau Pinang. Maka kekallah meriam ini di Pulau Pinang hingga hari ini.

Mungkin sebab meriam ini buatan Belanda maka Inggeris tidak membawanya pulang ke negara mereka. Kebiasaannya jika meriam besar buatan tempatan (anak Alam Melayu) akan dibawa ke Eropah.

Inilah contoh senjata makan tuan. Senjata yang dibuat oleh Belanda akhirnya digunakan untuk menewaskan Belanda.

Pengajarannya, apa yang kita jual pada hari ini kepada bangsa asing memang menguntungkan kita, tetapi ianya boleh menjadi mudarat kepada anak cucu kita pada masa akan datang.

Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam

No comments:

Post a Comment