Wednesday 1 May 2019

Pendakwah Abu Hassan Din meninggal dunia pagi ini


Pendakwah terkenal, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz, 72, meninggal dunia pada kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.

Menurut anak Allahyarham, Mohamad Yusri Abu Hassan, bekas Penasihat Agama Istana Negara itu terjatuh semasa mahu memakai seluar untuk menunaikan solat Subuh pagi tadi.


“Lepas jatuh (Allahyarham) terus tidak sedarkan diri. Kemudian kami panggil ambulans dan ketika ambulans sampai dah cuba buat bantuan kecemasan (CPR) sampai ke hospital.

“Tempoh CPR selama sejam (tetapi) tiada apa-apa kesan. Kemudian doktor berhenti (CPR) dan hampir pukul 7.30 pagi, doktor isytihar dia meninggal dunia,” katanya.

Menurut Mohamad Yusri, dia kini di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk urusan membawa pulang jenazah.

Jenazah akan dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Batu Muda dan setelah itu akan dibawa ke Masjid Saidina Hamzah di kampung yang sama untuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan.

“Seterusnya jenazah dibawa untuk dikebumikan di kawasan perkuburan berhampiran.

“Insya-Allah secepat mungkin, kalau sempat sebelum Zohor (dikebumikan),” katanya.

Abu Hassan merupakan adik kepada dua pendakwah terkenal, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din dan Allahyarham Ishak Din. Kedua-dua abangnya kembali ke rahmatullah pada 2016.

Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Derma di Arau, Perlis sebelum ke Sekolah Menengah Agama Arab Alawiyah lalu melanjutkan pelajaran di Mesir.

Selain pernah menjadi Penasihat Agama Istana Negara, Allahyarham turut berpengalaman  berkhidmat di Masjid Negara dengan jawatan tertingginya sebagai Imam Besar. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment