KEGIATAN korek pasir di perairan Pengkalan Weld, Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong |
AKTIVITI mengorek pasir berhampiran Pengkalan Weld, Georgetown, menyebabkan hasil tangkapan dan pendapatan nelayan di sekitar perairan Pulau Pinang, terjejas teruk.
Lebih membimbangkan, aktiviti yang menyebabkan selut itu juga membuatkan air laut tercemar serta dikhuatiri memberi kesan terhadap kualiti ikan yang dipasarkan.
Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Nazri Ahmad berkata, aktiviti berkenaan dikenal pasti sejak awal Februari lalu dan membabitkan dua kapal korek.
Katanya, aktiviti itu dijalankan setiap hari seawal 10 pagi sehingga lewat malam dan pasir berkenaan dipercayai dilonggokkan di kawasan laut berhampiran Lebuh Macullum.
“Aktiviti berkenaan jelas boleh dilihat dari Pejabat Kerajaan Negeri dan kami kesal tiada tindakan diambil pihak berkuasa, malah nelayan juga tidak dimaklumkan mengenainya atau sebarang aktiviti di perairan.
“Perairan sudah tercemar dengan selut dan jika ia berterusan, ikan serta kehidupan marin boleh dijangkiti bakteria e-coli dan samonella,” katanya dalam sidang media di Lebuhraya Dr Lim Chong Eu, Georgetown, hari ini.
Hadir sama pada sidang media berkenaan ialah Pengerusi Nelayan Jelutong, Badrul Hisham Hashim dan lebih 40 nelayan mewakili golongan berkenaan di negeri ini.
Mengulas lanjut, Nazri berkata, aktiviti berkenaan sudah dimaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), namun masih menunggu tindakan selanjutnya.
Menurutnya, pihaknya difahamkan aktiviti mengorek pasir berkenaan dipercayai sudah membabitkan lebih satu kilometer di sekitar lokasi terbabit.
Malah, katanya, tidak diketahui sama ada kegiatan berkenaan dijalankan secara sah atau sebaliknya.
“Banyak projek membabitkan tambakan dijalankan di negeri ini dan kita bimbang jika berlaku aktiviti curi pasir oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mengurangkan kos projek mereka.
“Jika ia dijalankan secara sah, mohon pihak yang berkenaan lihat semula kerana kesannya bukan sahaja terhadap alam sekitar, malah hidupan marin akan pupus dan hasil tangkapan sudah jelas berkurangan,” katanya lagi.
Sementara itu, nelayan di Jelutong, Quah Beng Leong, 65, berkata masalah akan memberi kesan kepada seluruh nelayan di negeri ini.
Katanya, difahamkan nelayan berhampiran Bagan Ajam, Butterworth turut menerima tempias akibat aktiviti berkenaan.
“Jika dulu nelayan boleh dapat lebih lima kilogram ikan bawal, tapi kini hanya dapat dua ekor saja, nak jual apa (dengan) dua ekor?”
“Untuk ke laut, saya perlu isi 15 liter minyak atau kira-kira RM33 dan jika begini hasil tangkapan, bagaimana mahu cari makan?” katanya yang sudah 38 tahun menjadi nelayan.
Kredit Harian Metro
No comments:
Post a Comment