DAP diminta supaya berhenti bermain ‘tarik tali’ sebaliknya komited dalam menunaikan segala macam janji yang -Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Malah kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP untuk penggal ketiga sepatutnya sudah boleh merealisasikan janji mereka kepada penduduk negeri itu khasnya masyarakat India berhubung pembinaan Sekolah Menengah Tamil.
Menurut Ahli Majlis Kerja Pusat MIC, Datuk M. Nyanasegaran, sebelum ini, DAP dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pernah memberikan alasan antara sebab utama mengapa usaha mereka terbantut adalah kerana tidak mempunyai kuasa peringkat pusat.
“Kini apa cerita? Anda sudah dapat kerajaan pusat, DAP menang lagi di Pulau Pinang dengan majoriti besar. Rakyat telah mempercayai setiap janji bulan bintang anda, kini sudah tiba masanya untuk merealisasikan impian itu.
“Apa lagi yang menghalang anda daripada melaksanakan projek-projek yang anda janjikan itu termasuk sekolah menangah Tamil bagi masyarakat India di negeri ini?
“Sepatutnya sudah bermula projek besar seperti ini, rakyat juga ternanti-nanti keikhlasan anda bukan sahaja di pentas-pentas ceramah sebaliknya apabila sudah memegang tampuk kuasa, anda tahu apakah jenis ‘keajaiban’ boleh dilakukan.
“Jangan memandai bagi alasan lagi, kuasa kini dalam tangan anda, seperti sebelum ini ketika berkempen di Cameron Highlands ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini, anda ingatkan pendududuk di situ bagaimana hanya kuasa pusat mampu berikan pembangunan.
“Dalam hal negeri Pulau Pinang, ianya seperti jackpot kerana anda ada kerajaan negeri dan kuasa pusat, apa lagi tunggu? Cepatlah beri pengumuman baik kepada baik,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.
Sejak bertahun-tahun lamanya sejak DAP mengambil tampuk pemerintahan Pulau Pinang, mereka seringkali mengeluarkan kenyataan bagaimana sukarnya untuk membina sekolah menengah Tamil pertama di negeri.
Dakwa mereka, permohonan telah dibuat sejak beberapa tahun lepas namun tidak mendapat kelulusan daripada kerajaan pusat yang ketika itu diterajui oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Malah bekas Ketua Menteri kini Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pernah meluahkan rasa terkilan kerana Putrajaya ketika itu menolak permohonan pihaknya untuk membina sekolah menengah Tamil di Bagan Dalam, Butterworth pada tahun 2014.
RoketKini ketika itu melaporkan, Guan Eng berkata, tawaran ikhlas kerajaan negeri untuk menyediakan sebidang tanah bagi membina sekolah berkenaan langsung tidak dipertimbangkan oleh Putrajaya, apatah lagi MIC.
Jelas Nyanasegaran, ketika itu Guan Eng ‘bertempik’ mengatakan masyarakat India telah dianiayai oleh kerajaan terdahulu dan seandainya diberikan kuasa sepenuhnya, pembinaan sekolah menengah yang pertama adalah pasti.
“Sebelum ini bukan main riak dan hebat Guan Eng ‘melalak’ depan media menyalahkan kerajaan terdahulu. Konco-konco beliau juga pimpinan India di Pulau Pinang juga ikut senada.
“Anda juga nyatakan bagaimana MIC sebagai komponen BN juga seolah-olah menutup mata dan telinga cuba menidakkan projek pertama anda untuk masyarakat India. Malah sudah ada tanah diperuntukan untuk projek tersebut.
“Saya tanya anda balik, rakyat sudah undi untuk anda menang lebih besar sehingga Putrjaya kini dalam gengaman anda, cukup-cukuplah dengan retorik politik dan tuding jari, cukup juga jadi pembangkang.
“Kita mahu tuntut janji anda, mana dan bila mahu mulakan projek Sekolah Menengah Tamil yang pertama di Pulau Pinang, jangan bagi alasan-alasan tidak logik lagi. Kami bukan budak kecil yang kamu boleh sepak seperti bola,” tegasnya.
Tambah beliau, seandainya DAP gagal dalam menunaikan janji ini, pihaknya tidak akan berfikir panjang untuk membuat kesimpulan parti itu hanya sekadar menggunakan isu seumpama itu untuk menyemarakkan rasa perkauman bagi menang PRU sahaja.
“Kita hanya boleh simpulkan DAP bukan ikhlas dalam membangunkan dan mejaga kepentingan masyarakat India sebaliknya sengaja menggunakan isu-isu seperti ini bagi membakar rasa benci kepada kerajaan terdahulu.- MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment