Rakyat Kedah diminta bersatupadu dengan mengenepikan pertelingkahan politik berikutan perbezaan fahaman untuk bersama-sama kerajaan negeri membangunkan Kedah menjadi sebuah negeri maju.
Pengerusi PKR Kedah, Johari Abdul berkata tindakan yang terlalu taksub dengan parti politik tertentu perlu dihentikan segera kerana kejayaan hanya dapat dicapai sekiranya wujud kesepakatan dan kerjasama baik antara semua pihak.
“Kita kena bersatu balik tidak kiralah pembangkang & pemerintah, bangunkan negeri kita. Kita dalam keadaan ranking kita pun teruk sekarang ini, dari segi kemiskinan kita (Kedah) dah di bawah dekat-dekat dengan Kelantan, jadi nampak kita ini kategori negeri miskinlah.
“Tetapi kalau kita bergaduh juga, susahlah. Ayat saya ialah kita need to united (perlu bersatu), kalau macam Johor ada ‘Bangsa Johor’, kita mesti ada bangsa Kedahlah. Maksudnya orang kita, di Kedah ini kena bersatu, tidak kiralah apa pun fahaman politik, pilihan raya umum pun dah lama habis,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan beliau dalam laporan Astro Awani semalam dengan memetik Johari sebagai berkata rakyat Kedah seharusnya mewujudkan konsep ‘Bangsa Kedah’ seperti ‘Bangsa Johor’.
Johari, yang juga Anggota Parlimen Sungai Petani berkata, pertelingkahan politik berpanjangan dengan sering kali memainkan isu bangsa dan agama hanya akan merugikan semua pihak termasuk boleh membantutkan proses pembangunan negara ini.
“Isu ini (bangsa dan agama) sampai bila-bila tidak akan habis… jadi bagi saya hentikanlah… kita harus ingat kita ada masalah perlu difikirkan seperti masalah pendapatan, ekonomi, pendidikan dan sosial.
“Isu agama dan bangsa ini isu yang sensitif, tetapi perkara paling penting kita kena saling hormati-menghormati antara satu sama lain, sebab masing-masing ada pandangan berbeza dan ada kepercayaan masing-masing. Kalau kita tidak hindari daripada terus bermain isu ini, kita tidak akan ke mana-mana,” katanya.
Sementara itu, beliau meminta pihak pembangkang seharusnya menjadi pembangkang yang baik untuk “check and balance” dalam pentadbiran kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) bagi membantu kerajaan menambah baik kelemahan yang ada sekali gus dapat memberikan manfaat kepada rakyat.
“Mereka jadi pembangkang yang baik, pemerintah juga harus menjadi pemerintah yang baik. Sebab kalau tidak, akhirnya kita juga akan jadi pembangkang, itulah maksud saya,” katanya.
- Bernama
Article xkena dengan gambar, niat sengaja nak burukan Nama MB kedah, MB kedah keluar kenyataan lain berhubung isu ini.
ReplyDelete