Tuesday 29 January 2019

Tiada sebarang diskaun untuk saman JPJ



TIADA sebarang tawaran diskaun akan diberikan ke atas mana-mana notis kompaun yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi kesalahan lalu lintas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dasar tiada diskaun itu tidak bermusim dan akan diteruskan sepanjang masa, bukan hanya ketika musim perayaan sahaja seperti sebelum ini bagi menurunkan kadar kemalangan jalan raya.

“Kalau pesalah ini nak marah Menteri Pengangkutan, marahlah. I don’t care (saya tidak kisah). Tugas saya adalah mengurangkan kemalangan jalan raya. Ini KPI saya


“Saya akan tetap tegas dan itu adalah dasar yang saya tetapkan dalam Kementerian Pengangkutan. Jadi selepas ini, kalau kena saman JPJ, jangan tunggu diskaun lagi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaan 2019, di Dengkil, hari ini.
Anthony berkata, ini adalah mengajar dan mendidik rakyat bagi membanteras kesalahan jalan raya.

Katanya, penguatkuasaan lebih tegas perlu diambil untuk menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia kerana jumlah kemalangan jalan raya di negara ini masih tinggi.

“Dengan purata lebih daripada 6,000 nyawa terkorban setiap tahun, langkah drastik perlu diambil termasuk bersikap tegas kepada pesalah lalu lintas,” katanya.
Katanya, Ops Bersepadu di peringkat kebangsaan itu bermula semalam hingga 12 Februari ini.

Menurutnya, dianggarkan kira-kira 10,000 pegawai dan anggota penguat kuasa termasuk 6,040 daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM); 1,800 daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), 150 dari Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) serta jabatan dan agensi sokongan lain akan bertugas sepanjang masa dalam tempoh OPS Bersepadu ini bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik bagi pengguna jalan raya.

“PLUS Malaysia Berhad (PLUS) juga akan menggerakkan lebih 5,000 petugas untuk memastikan kelancaran dan keselesaan pengguna lebuh raya.
“Saya juga difahamkan PDRM dan JPJ sudah membekukan cuti pegawai dan anggota mereka sempena kempen dan Ops Bersepadu ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, 11 lagi kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dipasang di sepanjang jajaran lebuh raya PLUS dan lokasinya masih dalam penelitian serta akan ditentukan Kementerian Pengangkutan.
“Ingin saya tegaskan di sini, walaupun kamera ini dipasang oleh PLUS, syarikat berkenaan tidak menerima sebarang komisen daripada kadar saman yang akan dikeluarkan.

“Tidak seperti sebelum ini, syarikat yang pasang akan dapat komisen. Selepas ini semua saman itu akan masuk ke dalam dana kerajaan,” katanya.

Harian Metro



No comments:

Post a Comment