Sunday 27 January 2019

Bayar Saman AWAS sebelum di BLACKLIST


PUTRAJAYA: Hampir 40,000 pesalah trafik yang disenarai hitam dan dikenakan waran tangkap berikutan kegagalan melunaskan saman menerusi Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) digesa segera tampil menyelesaikan tunggakan saman.

Kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan mereka terus berada dalam senarai hitam JPJ, sekali gus tidak dibenarkan memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu.
Jurucakap JPJ berkata, Seksyen 53(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) memperuntukkan pesalah AWAS yang diperintahkan hadir ke mahkamah, boleh dikenakan waran tangkap jika gagal berbuat demikian.

“JPJ akan menyenarai hitam pesalah ini dan dalam tempoh itu, mereka tidak boleh berurusan dengan JPJ untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu.

“Mereka hanya akan dikeluarkan daripada senarai selepas menjelaskan semua tunggakan saman yang berada bawah senarai hitam,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, berkata sebanyak 39,311 pesalah trafik yang dirakam menerusi kamera AWAS di seluruh negara disenarai hitam dan dikenakan waran tangkap berikutan kegagalan melunaskan saman sejak September hingga Disember tahun lalu.

Beliau berkata, sejak JPJ mengambil alih operasi kamera berkenaan pada 1 September 2018 hingga 21 Januari lalu, sebanyak 95,850 notis saman dikeluarkan menerusi 45 kamera AWAS di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, katanya, hanya 10,876 saman sudah diselesaikan manakala 84,974 saman lagi belum dilunaskan dan sehingga Disember 2018, sebanyak 39,358 saman dibawa untuk pendakwaan di mahkamah, namun hanya 45 pesalah trafik yang hadir.

Berhubung sama ada JPJ akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain termasuk polis bagi memburu pesalah yang disenarai hitam, jurucakap JPJ berkata, ia tidak akan membabitkan polis dan waran tangkap itu hanya dikeluarkan JPJ.

“Kita tidak memburu mereka. Kita hanya menyenarai hitam mereka daripada berurusan dengan JPJ, justeru implikasinya besar terhadap mereka.

“Sebagai contoh, jika mereka tidak memperbaharui lesen memandu dan berlaku kemalangan jalan raya, mereka tidak boleh membuat tuntutan insurans atau jika orang lain yang melanggar kenderaan mereka, mereka tetap bersalah kerana tidak mempunyai cukai jalan,” katanya-  Berita Harian

No comments:

Post a Comment