Monday, 28 January 2019

250 ekor kucing yang jinak-jinak belaka mendiami 'Pantai Kucing' di Teluk Bahang

Bagi semua pencinta kucing, meluangkan masa bersama haiwan yang comel dan gebu ini pastinya akan membuatkan kita berasa amat tenang dan gembira. Tidak kiralah sama ada kucing tersebut berbaka baik mahupun sekadar kucing jalanan, hati kita pasti akan menjadi ceria setiap kali melihat kucing.

Tahukah anda bahawa Malaysia memiliki sebuah pantai yang dihuni oleh ratusan kucing comel? Lebih mengujakan lagi, kesemua kucing ini sangat dahagakan perhatian jadi anda pasti akan berpeluang untuk membelai mereka sepuas hati…
‘Pantai Kucing’ ini dikatakan telah mula ditubuhkan di Teluk Bahang, Pulau Pinang pada tahun 2014. Sejak itu, terdapat lebih daripada 250 ekor kucing telah mendiami kawasan ini dan menjadikan habitat tetap mereka!
Memetik laporan The Star dan Astro AWANI, santuari kucing di tepi pantai ini diasaskan oleh seorang wanita Amerika Syarikat bernama Teviot Fairservis dengan kerjasama nelayan tempatan dikenali sebagai Nana Wan Chik atau lebih mesra dengan panggilan ‘Papa Kucing’.
Misi kedua-dua pencinta kucing ini hanyalah satu iaitu untuk menyelamatkan dan menyediakan tempat perlindungan buat kucing-kucing terbiar.
Kredit: Facebook
“Ada yang memukul dan membuang mereka sekali gus membuatkan kucing-kucing ini berada di sini. Kamilah harapan terakhir untuk kesemua kucing terbiar ini,” kata Teviot.
Di santuari ini juga, terdapat sebuah rumah papan kecil yang berhadapan dengan pantai dan membelakangi kawasan hutan. Hal ini sekali gus menjadikan kawasan berkenaan sebagai persekitaran yang sangat kondusif untuk membolehkan kucing-kucing ini bergerak dengan bebas.
Selain daripada dapat bermain bersama kucing-kucing yang jinak ini, anda juga berpeluang untuk menikmati pemandangan yang segar dan menenangkan. 
Tambahan pula, jika anda memasang niat untuk memelihara kucing, anda boleh membawanya pulang ke rumah dan memberikan kehidupan yang lebih selesa kepada kucing tersebut. Hal ini demikian kerana peruntukan untuk mengusahakan rumah perlindungan haiwan yang banyak seperti ini sudah tentu memakan kos yang tinggi bukan sahaja dari segi makanan tetapi juga perubatan, rawatan vaksin dan sebagainya.
Justeru, sejak tahun 2015, perbelanjaan keseluruhan bagi santuari ini dikatakan mencecah sehingga RM110,000 berikutan peningkatan kucing-kucing baru yang diletakkan di kawasan tersebut.
Kredit: Facebook
Anda boleh mengunjungi Pantai Kucing ini pada hari minggu di antara jam 11 pagi hingga 4 petang.
Alamat : 778, Jalan Teluk Bahang MK 2, 11050 Teluk Bahang, Pulau Pinang
Emel : catbeachsanctuary@gmail.com
No. tel : 017-5753 419

No comments:

Post a Comment