BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, segala pembangunan dan perancangan negara akan musnah dan ranap jika pengundi khususnya generasi muda dan pengundi kali pertama memilih pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangkang termasuk janji mereka dalam manifesto pilihan raya hanya memberi kesan buruk kepada negara termasuk generasi muda.
"Jangan dengar tohmahan pembangkang yang pelbagai kerana mereka berhajat untuk menjatuhkan kepimpinan dan kerajaan sedia ada.
"Mereka bercita-cita untuk mengadakan perubahan kononnya tetapi daripada aku janji yang diperlihatkan, menunjukkan mereka bukan mahu menjanjikan perubahan yang lebih baik tetapi akan memusnahkan dan meranapkan segala perancangan dan pembangunan sedia ada dalam negara.
"Kalau kita mahu kesinambungan, kita tak ada pilihan melainkan terus menyokong BN dalam PRU-14 kerana hanya BN yang dapat melaksanakan program yang dirancangkan dalam manifesto PRU-14 kerana dari segi rekod kecemerlangan, BN sudah melaksanakan aku janji iaitu manifesto PRU lalu dengan pencapaian 99.4 peratus," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Sukan Belia Negaraku anjuran Pemuda BN dan Majlis Belia Malaysia (MBM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Muara di sini hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan penyerahan geran bagi pembiayaan latihan kemahiran bidang pertanian bernilai RM440,000 oleh Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (i-GRO), Nordin Abdul Malek kepada 30 belia di Parlimen Bagan Datuk.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Pemuda BN, Khairul Azwan Harun dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaludin.
Ahmad Zahid berkata, BN di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan manifesto BN termasuk khusus bagi orang muda, mempunyai pelbagai aku janji yang akan ditunaikan kerajaan jika terus diberi mandat selepas PRU-14.
Katanya, Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang memfokus kepada generasi muda atau Gen Y dan milenia antara perancangan strategik dan kepedulian kerajaan terhadap golongan itu tanpa mengira keturunan, bangsa dan agama kerana mereka adalah aset berharga negara dan kerajaan mahu memastikan kepentingan mereka dan negara.
"Kesungguhan ini dapat diperhatikan daripada komitmen Perdana Menteri. Oleh itu, biarpun terjahan hujanan petir dan kilat kepada kerajaan BN, terutama kepada Perdana Menteri, anak muda terutama pengundi pertama kali atau pengundi muda, perlu terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri dengan mengundi dan menyokong calon BN. Itu cara untuk kita menyokong," katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, sebanyak 10,000 peluang pekerjaan termasuk dalam industri penangkapan ikan tuna dan kilang pemasangan kenderaan dan enjin elektrik akan diwujudkan di Bagan Datuk dalam tempoh lima tahun selepas PRU-14, dengan memberi keutamaan kepada penduduk dari Parlimen itu.
"Sebelum karnival ini diadakan pun kita sudah tawarkan 1,000 peluang pekerjaan kepada anak Bagan Datuk," katanya sambil berjanji akan membina trek motosikal atas permintaan orang muda di Parlimen itu.
Terdahulu, Khairul Azwan berkata, karnival kerjaya iaitu Ekspo Pemuda BN yang diadakan di sini hari ini menawarkan hampir 1,000 peluang pekerjaan khusus kepada anak muda di Bagan Datuk.
Beliau berkata, karnival kerjaya kali ini adalah yang ke-39 sejak empat tahun lalu dan komitmen itu bukan bermusim atau kerana pilihan raya tetapi kerana sedar keperluan peluang kerjaya diperlukan golongan muda.
No comments:
Post a Comment