KUALA LUMPUR: Manifesto Barisan Nasional (BN) yang akan diumumkan Datuk Seri Najib Razak pada 7 April ini bukan semata-mata untuk menawan hati pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sebaliknya, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata manifesto yang jauh lebih baik berbanding yang dilancarkan pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) itu adalah satu bentuk tawaran kepada rakyat untuk perancangan masa depan negara yang lebih gemilang.
“Manifesto BN bukan hendak menawan hati pengundi pada PRU akan datang, konsep BN ialah kita membentangkan kepada rakyat perancangan masa depan negara.
“Jika ada yang hendak memilih Tun (Dr Mahathir Mohamad) untuk setahun atau dua tahun, mereka boleh pilih PH tetapi jika hendak memilih masa depan, rakyat perlulah memilih BN,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi moderator bicara santai ‘Anda Tanya Kita Jawab’, Diskusi UMNO-Online, di Menara Dato Onn, di sini, hari ini.
Diskusi itu turut menampilkan dua ahli panel iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin.
Annuar diminta mengulas laporan eksklusif akhbar kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) hari ini bahawa BN dijangka melancarkan manifesto besar-besaran pada 7 April ini, sekali gus memberi bayangan bahawa PRU-14 kemungkinan besar diadakan seawal akhir April atau awal Mei 2018.
Sumber laporan itu memberitahu bahawa majlis pelancaran itu bakal diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil, yang lebih besar berbanding di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara.
Bagaimanapun, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh enggan mengulas lanjut mengenai manifesto yang akan dibentangkan itu.
“Ketika ini, manifesto di bawah ‘scrutiny’ (penelitian) Presiden (Pengerusi BN, Najib), tidak kena bagi saya untuk memberi sebarang ‘hint’ dan mendahului Presiden, kita hanya perlu bersabar sikit lagi,” katanya.
Sementara itu, mengulas manifesto PH, beliau berkata, ia lebih bersifat memancing undi tanpa ada sikap kebertanggungjawaban terhadap negara.
Katanya, jika diambil kira janji yang ditawarkan dalam manifesto itu, negara akan bankrap lebih awal.
“Ramai tidak perasan, ayat cantik tersusun dalam manifesto PH tetapi kaedah mengurus negara tidak sebegitu, kita tidak boleh membuat manifesto bersifat populis sehingga kita menghancurkan ekonomi asas negara.
“Manifesto tanpa mengambil kira fundamental ekonomi adalah manifesto tidak bertanggungjawab, kita boleh menjanjikan apa-apa saja tetapi ekonomi negara perlu berkembang dan tumbuh dengan pesat,” katanya.
Mengulas isu calon, Annuar berkata, BN sudah menyelesaikan isu pemilihan calon dan hanya menunggu masa untuk diumumkan.
“Senarai calon sudah siap tetapi orang tak umum calon sebelum Parlimen bubar. Namun secara prinsipnya, calon boleh diumum awal sebab semua sudah siap.
“Kalau dulu (PRU sebelumnya), kita umum calon tiga hari sebelum penamaan calon tetapi kali ini saya rasa calon boleh diumum awal kerana semua calon sudah siap dipilih,” katanya.
No comments:
Post a Comment