GEORGETOWN - Gerakan Pulau Pinang hari ini mempersoal tindakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang didakwa menyandang sehingga 19 jawatan utama di negeri ini.
Ketua Biro Publisitinya, Ooi Zhi Yi berkata selain bergelar Adun dan Ahli Parlimen, Guan Eng juga menjadi pengerusi dalam 19 agensi dan organisasi berkaitan kerajaan negeri.
Beliau mempersoalkan bagaimana Ketua Menteri berkenaan mahu menguruskan bebanan dan tanggungjawab setiap jawatan tersebut dan dalam sama memastikan kebajikan rakyat tidak terabai.
"Berapa lagikah jawatan pengerusi yang Ketua Menteri ingin menyandang dan menguasai selepas ini?," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terbaru katanya, Guan Eng juga dijangka akan mempengerusikan jawatan Perbadanan Taman Botani Pulau Pinang yang termaktub dalam Fasa 9 (1) (a) Rang Undang-Undang Perbadanan Taman Negeri (Botani) Pulau Pinang 2017.
Terdahulu, Zhi Yi yang juga Penyelaras Gerakan untuk kawasan Kebun Bunga berkata sesi persidangan Dewan Undangan Negeri lepas telah meluluskan Perbadanan Taman Negeri (Botani) Pulau Pinang sebagai Enakmen negeri.
Beliau ingin bertanyakan kepada kerajaan negeri tentang bayaran yang akan dikenakan kepada pengunjung yang ingin melawat tempat-tempat menarik di Taman Botani.
"Walaupun kerajaan negeri menafikan sebarang bayaran masuk ke Taman Botani, tetapi pihak kami ingin bertanya tentang bayaran lain yang mungkin dikenakan.
"Contohnya, selepas Bukit Bendera diperbadankan, terdapat beberapa bayaran dikenakan ke atas tempat menariknya seperti ‘The Habitat’ dan Muzium Burung Hantu," katanya.
Beliau juga ingin mengingatkan kerajaan negeri bahawa Taman Botani Pulau Pinang berfungsi untuk memulihara flora dan fauna dan secara tidak langsung berfungsi sebagai paru-paru hijau di kawasan berkenaan.
"Kami juga ingin menegaskan bahawa apa yang diperlukan bukanlah pertukaran struktur pengurusan Taman Botani tersebut, akan tetapi sebuah pelan yang efektif untuk menguruskan taman tersebut," katanya.
Taman Botani Pulau Pinang seluas 243 hektar diwujudkan oleh ahli botani Charles Curtis pada 1884 dan digunakan Jepun ketika penjajahannya sebagai tapak menyimpan peluru.- Bernama
No comments:
Post a Comment