GEORGETOWN: Kerajaan DAP didesak memberi penjelasan berhubung isu penjualan 2,178 hektar tanah yang didakwa berlaku sepanjang tempoh sembilan tahun mentadbir Pulau Pinang.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid, berkata kerajaan negeri selama ini hidup dalam 'sindrom penafian' berhubung pelbagai isu membabitkan kepentingan rakyat Pulau Pinang termasuk di dalam isu penjualan tanah berkenaan.
"Saya sudah banyak kali cakap, kerajaan negeri hidup dalam 'sindrom penafian' dalam pelbagai isu. Inilah amalan berpolitik yang dipraktikkan untuk menutup kelemahan mereka.
"Sebagai jalan mudah, mereka tuding jari salahkan pihak lain pula terhadap isu berbangkit. Jadi kita minta rakyat Pulau Pinang buka mata dan nilai sendiri," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.
Semalam, BN Pulau Pinang mendakwa hanya menjual 1,074 hektar tanah sepanjang 40 tahun mentadbir negeri itu, berbanding kerajaan negeri DAP yang sudah menjual 2,178 hektar tanah dalam tempoh sembilan tahun.
Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow dipetik sebagai berkata, pihaknya memperoleh maklumat berkenaan berdasarkan rekod rasmi kerajaan dan kenyataan media yang dikeluarkan kerajaan negeri sejak mula mengambil alih pentadbiran negeri pada 2008.
Menurut Chang Yeow, berdasarkan pengiraan pihaknya, rakyat Pulau Pinang secara purata kehilangan 20.4 hektar tanah sebulan atau 0.68 hektar setiap jam sepanjang sembilan tahun lalu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Dr Muhamad Farid Saad, berkata perkara itu adalah isu penting yang ingin diketahui rakyat dan kegagalan kerajaan negeri berbuat demikian membuktikan dakwaan berkenaan adalah benar.
"Kita mahu kerajaan negeri menjelaskan dakwaan berkenaan, kerana selama ini mereka sering menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menjual tanah ketika mentadbir Pulau Pinang.
"Semua pihak mahu mengetahui perkara sebenar seperti yang didedahkan Chang Yeow dan pendedahan ini bukan membuta tuli kerana ia berserta jumlah dan lokasi tanah yang dijual, sekiranya tidak benar kita minta kerajaan negeri nafikan," katanya ketika dihubungi.- BH
No comments:
Post a Comment