PERMATANG PAUH 7 Dis. - Jabatan Imigresen Pulau Pinang begitu serius menangani kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) apabila telah mengusir 2,742 PATI sejak Januari hingga November tahun ini.
Selain itu jabatan terbabit juga telah mengadakan 1,296 operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan pada tahun ini berbanding hanya 750 operasi dalam tempoh sama tahun lalu menyaksikan peningkatan sebanyak 546 operasi.
Daripada 1,296 operasi itu, sebanyak 2,785 PATI telah ditahan selain 242 majikan turut didakwa atas pelbagai kesalahan pada tahun ini berbanding 296 pada tahun lalu.
Pengarahnya Meor Hezbullah Meor Abdul Malik berkata, pihaknya juga menumpukan pemeriksaan di dua pintu masuk negeri ini iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Pelabuhan Pulau Pinang.
Menurutnya, sebanyak 1,024 warga asing tidak dibenarkan masuk ke negeri ini menerusi LTAPP kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen pada tahun ini berbanding 995 orang pada tahun lalu.
"Seramai 36 warga asing telah ditahan di LTAPP pada tahun ini dari Januari hingga November dan berkurangan dua orang berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Selain itu di Pelabuhan Pulau Pinang, jumlah mereka yang tidak dibenarkan masuk juga agak meningkat kepada 1,506 orang pada tahun ini berbanding hanya 320 pada tahun lalu," katanya ketika berucap pada sambutan Hari Imigresen peringkat negeri, di sini hari ini.
Tambahnya, pada tahun lalu tiada tangkapan dibuat di pelabuhan namun pada tahun ini seramai 124 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan
No comments:
Post a Comment