Sunday, 10 December 2017

10 Intipati Ucapan Pengulungan Datuk Seri Najib Tun Razak, PAU2017



Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari akhir Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) menyampaikan ucapan penangguhan yang padu serta sarat dengan amanat penting untuk semua ahli UMNO sebagai bekal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Ucapan Datuk Seri Najib selama 52 minit 32 saat, tamat kira-kira jam 5.30 petang di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menaikkan semangat semua perwakilan untuk menghadapi pembangkang dalam pilihanraya akan datang.

Daripada ucapan Datuk Seri Najib, boleh dikupas 10 perkara menarik dan penting untuk dihayati oleh rakyat secara keseluruhannya.

1. Perhimpunan Terbaik Setakat Ini

Menurut Najib, beliau sudah terlibat mengikuti setiap perhimpunan agung UMNO sejak tahun 1976 sehingga ke hari ini. Menurutnya, dalam banyak perhimpunan yang pernah dihadiri oleh beliau, perhimpunan kali ini adalah yang terbaik pernah diadakan.

"Saya tengok pada moodnya, moodnya baik. Saya tengok pada sentimennya, sentimennya baik. Saya tengok disiplin, disiplinnya baik dan saya kagum dengan kehadiran begitu ramai yang datang daripada segenap pelusuk tanah air kita," kata Najib.

Beliau turut menghargai orang ramai yang hadir menonton ucapan beliau itu pada skrin LED di luar Dewan Merdeka yang tetap setia sepanjang perhimpunan.

"Kebanyakannya kaum-kaum ibu kita, mereka ini tidak hendak apa-apa. Mereka tak nak jadi wakil rakyat. mereka tak nak kontrak. Mereka tak nak tender terhad. Mereka ini adalah penyokong setia tegar UMNO, yang mereka nak cuma bersalaman dengan pemimpin sahaja.

"Mereka duduk bersimpuh makan nasi lemak, bersandar pada tiang dengan penuh harapan untuk melihat UMNO terus berkuasa sebagai parti pemerintah," kata Najib.

2. Isu Baitulmaqdis : Tangguh Mesyuarat Perundingan Tahunan Dengan Perdana Menteri Singapura

Najib dalam ucapannya juga menegaskan beliau berjanji akan membantah habis-habisan tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang membuat keputusan untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel kerana ia adalah simbol kesucian umat Islam seluruh dunia.

"Saya akan hadir Persidangan Khas OIC di Istandul, Turki pada 13 hari bulan ini dalam masa beberapa hari sahaja lagi, tiga hari lalu, Presiden Erdogan telefon saya, dia minta saya hadir kerana suara Malaysia penting, dia kata," katanya.

Menurut beliau, secara kebetulan pada 13 dan 14 Disember, Najib dijadualkan menghadiri mesyuarat tahunan antara beliau dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong tetapi masalah sejagat umat Islam, ia terpaksa ditangguhkan.

"Kebetulan pada 13 dan 14 saya ada annual consutations dengan Perdana Menteri Singapura, saya telefon Perdana Menteri Singapura, Hsien Loong, saya kata 'please understand, this is an issue that affects my faith as a Muslim dan the faith of all Muslim," kata beliau.

3. Mempunyai Seorang Timbalan Yang Merupakan Sahabat Setia

Pada ucapan penangguhan beliau, Najib turut membacakan beberapa bait lagu nyanyian Datuk DJ Dave yang menceritakan tentang satu persahabatan sejati, yang menggambarkan persahabatan Najib dan de-facto Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya masih ingat pada bait-bait lagu Datuk DJ Dave, sukarnya mencari kawan yang setia yang sanggup menolong di masa kau susah, kawan sewaktu senang tak payah kau cari-cari, di mana sahaja mudah kau jumpa, kawan yang setia ibarat cahaya, menjadi penerang masa kegelapan, ia tak tergamak biarkan kau sendiri, nasibmu pasti dibela," ujar Najib.

Najib mengakui dengan adanya Ahmad Zahid yang selalu mempertahankannya selama ini, beliau yakin beliau tidak keseorangan dalam perjuangan ini untuk berdepan tekanan dan cabaran pembangkang.

4. Jangan Ambil Seseorang Dari Masa Lampau Untuk Jadi Perdana Menteri Masa Depan

Menyentuh soal bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, Najib berkata ada kedengaran beliau bersedia jadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang memerlukannya menjadi Perdana Menteri semula. Menurut Najib, ada pihak juga menyatakan bahawa mereka mahu Ketua Parlimen DAP jadi Perdana Menteri.

"Ada dengar-dengar pula ada orang 93 tahun minat hendak jadi Perdana Menteri balik, yang senja meniti malam, Zimbabwe pun dah tak ada, 93 tahun tuan-tuan... jadi belah situ tak menentu.

"Takkanlah kita nak letakkan masa depan negara kita antara dua ini," katanya.

Malaysia, sudah ada agenda di bawah kerajaan BN. Pembangunan yang sesuai untuk masa depan dan meletakkan seseorang yang lama tidak akan berjaya membawa Malaysia menjadi lebih baik pada masa akan datang.

5. Naik Haji Kerana Perjuangan UMNO

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata rakyat Malaysia yang dapat ke Mekah menunaikan haji dengan kuota yang semakin bertambah adalah kerana hasil pengorbanan UMNO.

"Yang dapat naik haji ni berapa orang? ramai... Tabung Haji dia buat, tapi saya yang uruskan dengan King Salman, dapat, dia tambah lagi banyak orang naik haji kerana apa, kerana perjuangan UMNO lah," ujar Najib.

6. Semua Peroleh Manfaat Dari Perjuangan

Rakyat semuanya mendapat manfaat hasil dari kerajaan, termasuklah Tok Siak, Tok Imam dan juga semua guru guru Kafa.

"Daripada tok siak, tok imam, tok bilal, guru KAFA dapat elaun khas kenapa, sebab ekonomi kita maju. Ekonomi kita bawah pimpinan UMNO mencatat kadar pertumbuhan 6.2 peratus, jadi bila hasil tambah, saya gunakan hasil tu tolong orang B40.

"Pesawah padi, pekebun kecil, nelayan, peneroka, semua dapat di bawah UMNO ini," kata Najib.

7. Pembangkang "Kucha Lana" dan Caca Marba

Menurut Najib, pakatan pembangkang kini sudah kucar kacir dan beliau menggunakan perkataan "kucha lana" dan caca marba dalam ucapannya untuk menggambarkan kerapuhan Pakatan Harapan (PH).

"Belah sana tu tak ada, kuchalana, cacamarba sekejap kata ini, besok kata lain sekejap kata dedak, lepas tu BR1M masuk pulak dalam manifesto dia, sekejap tolak GST, sekarang terima GST.

"Ini kartun tuan-tuan, ini kartun, ini bukan mentadbir negara dengan serius," kata Najib.

8. Selesaikan Masalah Di Bahagian

Presiden berkata, soal pokok yang penting sudah pun diselesaikan.

"Kita dah settle dah, soal kepimpinan dah settle, nombor satu, nombor dua dan nombor tiga semua dah settle, Datuk Hisham (Hishammuddin) dah settle, done, done deal.

"Dekat Bahagian ni pakat-pakatlah sikit, tolong pakat-pakatlah boleh tak," katanya dengan mengharapkan masalah di peringkat Bahagian dapat diselesaikan dengan rundingan sesama mereka atas dasar kekeluargaan UMNO.

9. Pulang Kembali Dengan Semangat Cinta dan Kasih Sayang Kental

Najib menyatakan pesanan kedua yang perlu dibawa kembali para perwakilan kepada Bahagian selepas selesai perhimpunan.

"Pulang kembali dengan semangat cinta dan kasih yang kental kepada parti, semangat kekeluargaan yang tinggi dalam organisasi kita, ini mesti ada pada kita," katanya.

10. Pulang dan Kembali Berjuang dan Menggempur Dengan Penuh Berani Untuk BN

Dalam pesanan terakhir, Najib mahu para perwakilan kembali dan berjuang untuk menggempur dengan penuh berani untuk BN.

"Semua momentum belah kita sekarang ini, the win is behind us, momentum belah kita. Kebanyakan pegawai kerajaan memihak belah kita, mereka ini pelaksana dasar pendukung dasar Barisan Nasional," kata Najib.

Ucapan Najib diakhiri dengan semangat para perwakilan yang begitu berkobar-kobar mahu membawa pesanan amanat itu di peringkat bawah.

Semua ahli UMNO dan orang UMNO di setiap peringkat perlu bertindak untuk realisasikan apa yang diucapkan oleh Presiden UMNO. "Pasti kita menang!!! Pasti kita menang!!!, pertahankan Putrajaya" kata Datuk Seri Najib.


Tulisan :
Beruang Biru
BB692, Sabtu
9 Disember 2017

No comments:

Post a Comment