Friday, 17 November 2017

Politikkan isu banjir untuk tutup kelemahan

KUALA LUMPUR: GERAKAN mengecam tindakan pembangkang cuba mempolitikkan banjir besar di Pulau Pinang dengan memberikan gambaran negatif terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN).



Timbalan Presiden, Datuk Dr Cheah Soon Hai, berkata pembangkang menggunakan media sosial untuk mempersendakan kerajaan Persekutuan kononnya mengabaikan rakyat Pulau Pinang dan lebih prihatin terhadap etnik Rohingya di Myanmar.

 

Katanya, pembangkang menggunakan media sosial untuk menggambarkan pemimpin mereka, terutama DAP bersungguh-sungguh dan berdedikasi dalam membantu mangsa banjir, manakala pemimpin Barisan Nasional (BN) datang hanya untuk merakamkan gambar.

 

Beliau berkata, pembangkang menggunakan media sosial untuk menutup kesungguhan BN khususnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk membantu mangsa banjir.



"Media sosial pembangkang dipenuhi berita palsu yang memberikan gambaran salah seolah-olah kerajaan Persekutuan hanya peka terhadap isu Rohingya di Myanmar berbanding rakyat Pulau Pinang.

 

"GERAKAN memandang jijik percubaan untuk mempolitikkan banjir yang bertujuan menimbulkan kemarahan rakyat. Tumpuan seharusnya membantu mangsa banjir," katanya.



Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita GERAKAN di Menara PGRM di sini, hari ini.

 

Yang turut hadir, Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong; Ketua Wanita GERAKAN, Datuk Tan Lian Ho dan Ketua Pemuda parti itu, Tan Keng Liang.

 

Soon Hai berkata, BN menggerakkan banyak usaha untuk membantu mangsa banjir di Pulau Pinang.

Kerajaan Pusat, bersama BN Pulau Pinang dan GERAKAN bekerja sepanjang masa untuk menyalurkan bantuan sebaik mungkin kepada mangsa banjir.

 

Beliau berkata, Jawatankuasa Pusat GERAKAN berjaya mengumpul RM100,000 untuk disalurkan ke pusat pemindahan banjir, selain pembabitan sukarelawan parti di Pulau Pinang untuk membantu mangsa banjir. BH

No comments:

Post a Comment