GEORGE TOWN, 13 Sept – Rakyat Pulau Pinang boleh menilai sendiri
sikap pemimpin negeri yang masih berdiam diri terhadap permintaan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar Lim Guan Eng meminta maaf berhubung kenyataannya
bahawa penahanan seorang exco kerajaan negeri adalah ‘penahanan haram’.
Anggota
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong daripada Barisan Nasional (BN) Datuk
Muhamad Farid Saad berkata pemimpin negeri itu yang terus membisu menunjukkan
sikap orang yang tidak mahu mengakui kesilapan.
“Pemimpin
baik adalah pemimpin yang sanggup mengaku kesilapan yang dibuat. Hanya pemimpin
sombong saja yang tidak mengaku kesalahan dibuat. Ini dapat dinilai oleh
masyarakat Pulau Pinang sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan
Program Kesedaran Keselamatan Petroleum 2017 di sini hari ini.
Beliau
berkata SPRM tidak akan sewenang-wenangnya membuat permintaan itu tanpa bukti
yang kukuh.
Pada
25 Ogos lalu, SPRM memberi tempoh 48 jam kepada Lim untuk memohon maaf secara
terbuka tanpa syarat kepada suruhanjaya itu atau berdepan tindakan
undang-undang susulan kenyataannya bahawa penahanan exco kerajaan negeri Phee
Boon Poh sebagai ‘penahanan haram oleh SPRM’.
SPRM
dalam kenyataan pada 5 Sept pula berkata suruhanjaya itu memutuskan untuk
mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang terhadap Lim yang enggan
memohon maaf atas kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah itu.
Sementara
itu Muhamad Farid yang juga Pengerusi Focus Group Pembangunan Usahawan dan
Koperasi Bumiputera Pulau Pinang berkata kempen kesedaran keselamatan petroleum
perlu kerana ramai dalam kalangan masyarakat yang masih memandang mudah
terhadap perkara itu.
“Hari
ini kita lihat masyarakat mengambil mudah tentang keselamatan di stesen minyak
sebab itu berlakunya kemalangan yang tidak sepatutnya berlaku. Ia boleh diubah
sekiranya pengguna berubah sikap seperti tidak menggunakan telefon bimbit dan
mematikan enjin kenderaan ketika mahu mengisi minyak,” katanya.
Program
kesedaran anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasama syarikat-syarikat minyak utama itu
bertujuan meningkatkan kesedaran, kepekaan dan rasa tanggungjawab bukan sahaja
kepada pengusaha stesen minyak malah kepada masyarakat setempat termasuk
pelajar.

No comments:
Post a Comment