Thursday, 3 August 2017

PUSAT SEHENTI SIMPAN STOK BENCANA NEGARA BEROPERASI OKTOBER



Depot Tindak Balas Kemanusiaan Negara (DTBKN) yang ditubuhkan sebagai pusat sehenti untuk menyimpan makanan dan barangan keperluan asas serta aset bencana negara dijangka beroperasi Oktober ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata DTBKN akan beroperasi menggunakan model Program Makanan Sedunia - Depot Respons Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Subang, yang menguruskan misi bantuan kemanusiaan PBB di rantau Asia Pasifik.
"DTBKN juga akan dijadikan sebagai Pusat Latihan Logistik dan Pusat Kecemerlangan bagi pengurusan Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR) di peringkat antarabangsa,"katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Pengurusan Bencana Negara Bil. 1/2017 di Bangunan Utama Parlimen di sini, semalam. 
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Abd Rashid Harun.
Ahmad Zahid berkata DTBKN yang mempunyai keluasan 12,486 meter persegi ditubuhkan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara NADMA dan Kementerian Pertahanan dengan menggunakan fasiliti sedia ada di Depot Simpanan Pertahanan (DSP) di Sungai Buloh berikutan lokasinya yang strategik dan berhampiran dengan Jaringan Lebuh Raya Utara Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Subang dan Pangkalan Udara TUDM Subang.
Menurut Ahmad Zahid, pengurusan DTBKN akan dikendalikan oleh pegawai dan kakitangan sedia ada di DSP.
Beliau berkata NADMA dengan kerjasama Agensi Remote Sensing Malaysia juga telah membangunkan sistem e-logistik bagi memastikan pengurusan dan bantuan bencana dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, sistematik dan berkesan.
Sementara itu, semasa ditemui wartawan, Shahidan berkata mesyuarat itu turut membincangkan cadangan untuk memperluaskan skim insurans untuk mangsa banjir, seperti yang dilaksanakan dengan jayanya di Parlimen Kemaman, ke seluruh negara.
"Pada dasarnya pengerusi (Ahmad Zahid) telah bersetuju dengan cadangan perluasan skim ini, tetapi masih ada perincian seperti berapa jumlah premium perlu dibayar dan pampasan yang perlu diberikan agar ia tidak membebankan peserta,"katanya. Pada 2015, anggota Parlimen Kemaman yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah memperkenalkan satu pelan menghadapi banjir yang dikenali Model Kemaman Siapsiaga, yang turut mengandungi skim insurans untuk mangsa banjir yang dikenali sebagai 'Skim Insurans Kampungku'.
Pelan kesiapsiagaan itu yang diguna pakai di daerah tersebut setiap kali banjir telah diangkat sebagai contoh terbaik dalam mengurus banjir dan memperoleh pengiktirafan Gold Standard oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2015.

No comments:

Post a Comment