Thursday 3 August 2017

Ketua pegawai operasi Rapid Penang didakwa rasuah RM70,000

Ketua pegawai operasi Rapid Penang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM70,000 daripada sebuah syarikat, pada 20 April 2015.
Mohd Shukri Abdul Rahman, 54, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Tertuduh didakwa menerima wang daripada Syarikat Jayonik MSC Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Maybank milik Nor Jasmin Mustafa untuk mengeluarkan surat pelantikan syarikat itu bagi sebuah projek bernilai RM8.4 juta.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Times Square, Lot 77-G-13, 14, 15 & 16, Penang Times Square, di sini pada 20 April 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri menawarkan jaminan RM100,000 dan seorang penjamin, bagaimanapun peguam tertuduh, Datuk Shukri Mohamad memohon jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh menyara 2 anak, selain memberi kerjasama sepanjang siasatan kes berkenaan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

No comments:

Post a Comment