Tuesday 18 July 2017

Pegawai adun DAP mengaku tak bersalah cabul pelayan

Seorang pegawai khas kepada seorang adun DAP hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan mencabul kehormatan seorang pelayan wanita di sebuah pusat hiburan awal bulan ini.
L Prem Anand, 50, bekas ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang didakwa mencabul mangsa berusia 21 tahun, di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebatan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan letak kereta sebuah pusat hiburan di Lebuh Pantai, pada jam 11.30 malam, 6 Julai lalu.
Timbalan pendakwa raya, Nurul Izzah Shaharuddin meminta mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 dan mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis.
Peguam Prem, E Gnasegaran sebaliknya memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin dan berkata permintaan melaporkan diri di balai polis tidak perlu.
Katanya, anak guamnya memberi kerjasama penuh kepada polis serta hadir di mahkamah hari ini, dan ia mencukupi untuk mengatakan tertuduh akan hadir ke prosiding seterusnya.

Majistret, Catherine Nicholas membenarkan Prem diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 23 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Dalam laporan polis 7 Julai lalu, pelajar sebuah kolej swasta itu yang bekerja sebagai pelayan sambilan mendakwa dipeluk dan dicium, serta dipaksa melakukan seks oral.
Dia juga mendakwa menolak tawaran sehingga RM500 untuk bermalam dengan lelaki itu.
Sementara itu, sayap Wanita DAP mengalu-alukan siasatan pihak berkuasa dalam kes itu, dan berharap ia menjadi contoh agar mangsa cabul tidak berdiam diri.
“Stigma yang terpalit kepada si mangsa menghalang mereka daripada bersuara. Trauma daripada pengalaman sebegitu tidak boleh dipandang ringan dan mangsa perlu diberikan sokongan penuh,” kata jurucakap Wanita DAP, Sangeet Kaur Deo.
Beliau turut memuji siasatan polis yang “profesional”.

No comments:

Post a Comment