BANGI: GERAKAN memanfaatkan sepenuhnya platform media
sosial bagi menghebahkan agenda parti dalam meraih undi rakyat terutama
golongan belia di Pulau Pinang, sekali gus membantu Barisan Nasional (BN)
merampas kembali negeri itu daripada DAP.
Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata GERAKAN
bersama parti komponen BN sentiasa berdialog bagi membincangkan penyelesaian
terbaik menangani isu alam sekitar di Pulau Pinang.
Beliau yakin usaha pihak terbabit akan berhasil dalam
meraih sokongan rakyat bagi memastikan BN mentadbir Pulau Pinang selepas
Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
"Dalam dua,
tiga tahun kebelakangan ini, kita banyak berunding dengan parti komponen dalam
memikirkan usaha mendapatkan sokongan pengundi Pulau Pinang.
"Kita tidak menguasai media sosial ketika PRU-13,
justeru kita akan beri fokus terhadap penggunaan media baharu menjelang PRU
kelak," katanya pada sidang media Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Lembaga
Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sini, hari ini.
Terdahulu, beberapa portal media dalam talian melaporkan
UMNO Pulau Pinang mengharap kerjasama dan komitmen parti komponen BN untuk
merampas kembali negeri berkenaan. Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid,
berkata BN perlu memenangi sekurang-kurangnya 21 kerusi di Pulau Pinang
bagi PRU-14, sekali gus mengharapkan kerjasama padu GERAKAN, MCA dan MIC.
No comments:
Post a Comment