Sunday 30 July 2017

Kajian terowong dasar laut, jambatan ketiga belum diterima

30 JULAI: Kementerian Kerja Raya masih belum menerima maklumat terkini mengenai kajian terperinci projek terowong dasar laut Pulau Pinang dan jambatan ketiga yang dijanjikan untuk dihantar kepada kementeriannya Jun lepas.
Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pada Mac lepas, kerajaan negeri menerusi Ketua Menteri Lim Guan Eng telah berjanji untuk menghantar kajian itu bagi membuat permohonan dua projek berkenaan.
“Kalau ikut perjumpaan pada Mac lepas dengan Lim dan Exco kerajaan negeri, konsultan serta kontraktor bagi dua projek itu, mereka beritahu semua kajian itu telah 80 peratus siap. Tapi setakat ini, kami belum terima apa-apa kajian berhubung dua projek tersebut.
“Saya masih tunggu (kajian dihantar), kalau tiada jadi tiadalah kelulusan. Oleh itu, kementerian tidak harus dipersalahkan bagi sebarang kelewatan,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek menaik taraf jalan persekutuan dari Teluk Kumbar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas hari ini.
Beliau berkata, tahun lepas, kerajaan Pulau Pinang menghantar surat kepada kementeriannya untuk meminta kelulusan bagi pembinaan jambatan ketiga tanpa mengemukakan apa-apa dokumen sokongan.
“Mereka bagi surat minta kelulusan secara prinsip, saya kata tak boleh kerana menerusi prosedur kerajaan khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) kalau hendak minta kelulusan perlu ada surat sokongan termasuk kajian menyeluruh termasuk berkaitan trafik serta impak sosial.
Kalau kementerian buat projek untuk negeri pun memang kami akan minta dokumen-dokumen tersebut untuk dinilai secara terperinci sebelum ia diluluskan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata projek menaik taraf jalan persekutuan yang dilawati hari ini telah siap 93 peratus dan dijangka siap sepenuhnya mengikut jadual pada 23 Dis ini.
“Pelaksanaan projek membabitkan kos pembinaan sebanyak RM297,717,871 dengan jarak sepanjang tiga kilometer bermula dari Kampung Sungai Batu hingga ke Sungai Tiram itu akan memberi manfaat kepada 196,195 penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.
Katanya, projek berkenaan meliputi kerja pelebaran jalan daripada dua lorong kepada empat lorong dan ia merupakan kesinambungan kepada pembinaan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang telah beroperasi.
“Selain menyediakan empat lorong yang melintasi pekan Bayan Lepas, projek itu turut menyediakan empat lorong bertingkat yang menyediakan laluan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke Teluk Kumbar,” katanya.


No comments:

Post a Comment