Friday 21 July 2017

Dr M: Kit Siang ‘pendakwah’ terbaik, sampaikan ayat al-Quran kepada Apandi

Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad memuji pemimpin DAP Lim Kit Siang sebagai “pendakwah” terbaik kerana menyampaikan petikan ayat al-Quran kepada peguam negara.
“Bukan main saya terkejut buat kali pertama Lim Kit Siang mengeluarkan ayat-ayat al-Quran untuk tunjuk kepada (Tan Sri) Apandi Ali yang mungkin tak pernah baca.

“Ini adalah sebuah kebaikan, kita tak payah berdakwah dengan Kit Siang. Pasal politik dan pasal pembohongan Apandi saja, Kit Siang tunjuk dia pun baca al-Quran.
“Ini dakwah yang terbaik lah,” kata Dr Mahathir kepada tepukan gemuruh dari 1,000 hadirin di majlis rumah terbuka Aidilfitri PPBM di bangunan Long Say, Jalan Burma hari ini.
mahathir

Turut hadir meraikan majlis itu Kit Siang sendiri, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Pengerusi PKR Pulau Pinang Mansor Othman, Pengerusi Amanah Pulau Pinang Datuk Mujahid Yusof Rawa dan Pengerusi PPBM Pulau Pinang Marzuki Yahaya dalam kalangan pimpinan pembangkang.

Dr Mahathir menjawab kenyataan Apandi pada Selasa yang berkata beliau hanya takut kepada Tuhan semasa menjalankan tugas.
Apandi berkata demikian bagi menjawab Dr Mahathir yang mengkritik peguam negara kerana gagal mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati bersalah dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kit Siang kemudian memetik 2 ayat dari surah al-Baqarah yang menyeru ke arah melawan kepalsuan, dan mengelak daripada melakukan kerosakan di muka bumi.
Apandi menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara pada Julai 2015, ketika hangat siasatan khas terhadap 1MDB melibatkan bekas peguam negara itu.
Tahun lalu, Apandi membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan 1MDB, tetapi berkata fail itu belum ditutup.

FMT cuba menghubungi Apandi untuk mendapatkan komen dan masih menunggu jawapannya. FMT

No comments:

Post a Comment