Monday 24 July 2017

CEC DAP: Pimpinan DAP Takut Diprotes Perwakilan Sendiri

TERNYATA DAP terus mencipta helah dalam isu pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu seperti yang telah diarahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Pada 21 Julai, DAP akhirnya memaklumkan akur dengan arahan ROS dan me­nyatakan kesediaan untuk me­ngadakan pemilihan semula CEC selepas cuba mengelak dengan pelbagai alasan sebelum ini.

Parti itu juga akur dengan arahan ROS supaya menggunakan senarai 2,576 perwakilan pada pemilihan 15 Disember 2012 serta melantik juruaudit bebas untuk memantau dan mengendalikan pemilihan semula itu.

Pemilihan semula CEC itu akan diadakan melalui kongres khas seperti yang diperuntukkan perlembagaan DAP.

Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berkata, bagaimanapun, pemilihan semula itu dibuat ‘di ba­­wah protes’ dan tidak akan menjejaskan usaha parti untuk mengambil tindakan perundangan terhadap ROS sekiranya perlu.

Kenapa pimpinan DAP mahu memprotes arahan dikeluarkan ROS?

DAP mendakwa ROS mengeluarkan arahan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) boleh diadakan bila-bila masa.

Kenapa DAP takut untuk mengadakan pemilihan semula CEC parti itu?

DAP sebaliknya terus mencari alasan hanya kerana tidak mahu tunduk dengan arahan ROS dan tuntutan akar umbinya.

Sebelum ini, parti itu mendakwa arahan ROS itu hanya melalui air liur kerana tiada surat rasmi dikeluarkan.

Tetapi pada 17 Julai lepas, surat rasmi ROS sudah selamat sampai ke tangan parti itu.

Namun, timbul pula alasan, mereka mahu bertemu empat mata dengan pihak ROS.

Bukankah DAP diketuai Lim Kit Siang sebenarnya sejak awal cuba berdolak-dalik dalam isu pemilihan CEC parti itu?

Apa sebenarnya yang dibimbangi mereka?

Adakah Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng serta pengikut setianya takut akan kehilangan kuasa?

Oleh sebab itu, mereka mencipta pelbagai helah yang dipercayai untuk menyalahkan ROS dalam isu CEC.

DAP memaklumkan selagi pertemuan dengan pihak ROS tidak diadakan, parti itu tidak akan akur dengan arahan pihak berkuasa itu.

Kenapa DAP berbuat demikian?

Parti itu sebenarnya mahu menampakkan ROS yang bersalah dan rakyat akan melihat DAP teraniaya serta kononnya menjadi mangsa politik dalam isu itu.

Benarkah parti itu menjadi mangsa politik atau pimpinan parti itu yang mengamalkan politik tidak bersih?

ROS sebaliknya memaklumkan bahawa pihaknya tidak akan melayan sebarang karenah DAP untuk mengadakan pertemuan sebaliknya meminta mereka menulis surat jika mahu penjelasan lanjut dan jawapannya hanya akan dibalas juga melalui surat.

Tempoh masa 14 hari diberikan kepada DAP untuk memberikan maklum balas.

Nampaknya, DAP sudah terjerat dengan permainan politik mereka sendiri.

Tidak perlulah berdolak-dalik lagi dengan menyatakan mereka mempunyai beberapa pilihan pula untuk dikemukakan kepada ROS sebagai tanda protes terhadap arahan ROS.

Adakah isu CEC ini baharu berlaku?

Sudah empat tahun DAP bebas beroperasi tanpa keanggotaan CEC yang sah dan diiktiraf.

Selama tempoh itu juga perwakilan-perwakilan DAP rasa ditipu kerana tidak diberikan hak untuk mengundi.

DAP tidak boleh lagi rasa bongkak dan kebal dengan undang-undang di negara ini.

Mana-mana parti atau pertubuhan yang mahu bergerak di negara ini perlu mengikut segala peraturan dan peruntukan yang terkandung dalam Akta Pertubuhan 1966.

UMNO sendiri pun pernah menerima arahan sama pada 1987 apabila parti itu diisytihar tidak sah sehingga dibubarkan dan perlu membentuk parti baharu.

Takkanlah DAP yang ditubuhkan dalam tahun yang sama sejak akta itu diwujudkan, masih tidak faham undang-undang berkaitan?

Kenapa sukar sangat untuk patuh sahaja pada arahan atau ada sesuatu yang mahu disembunyikan?

Mungkin ada pemimpin-pemimpin tertentu mahu dikekalkan kerana mahu terus berkuasa walaupun ditolak ahli parti mereka sendiri?

Pemilihan semula CEC DAP pada 2013 tidak sah kerana wujud perbezaan jumlah perwakilan yang hadir dalam pemilihan pada Disember 2012 (865 cawangan) dengan pemilihan semula pada 29 September 2013 (985 cawangan) iaitu pertambahan sebanyak 120 cawangan.

Mahu atau tidak, DAP perlu mengadakan pemilih­an semula CEC tanpa sebarang tempoh ditetapkan.

Jika tidak, DAP berdepan risiko tidak dapat bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang seandainya tidak mematuhi arahan ROS.

Ini kerana watikah bagi setiap calon sesebuah parti mesti ditandatangani oleh pegawai atau pemegang yang diberikan mandat untuk menandatanganinya.

Ternyata DAP gentar atau takut tidak dapat bertanding pada PRU akan datang apabila menyatakan akur dengan arahan dikeluarkan ROS.

Tetapi bagi menampakkan mereka masih ada belang, mereka akur juga pada arahan secara protes.

Protes atau tidak, DAP perlu segera mengadakan pemilihan semula CEC.

Adakah DAP akan berbuat demikian atau akan terus mencari helah?

Biarlah perwakilan DAP sendiri yang menentukan siapa pimpinan yang ingin dipilih mereka.

Tidak guna DAP mengatakan akur dengan arahan ROS tetapi terus mencari helah dan berdolak-dalik bagi mengadakan pemilihan semula CEC.

Adakah Kit Siang, Guan Eng dan pimpinan DAP takut diprotes perwakilan parti jika pemilihan semula CEC diadakan?

Yang pastinya, DAP pasti sedang melakukan sesuatu sebelum pemilihan semula CEC dibuat.

Apa helah DAP seterusnya? Apakah perwakilan DAP boleh mula bersedia dengan majlis perpisahan untuk Kit Siang dan Guan Eng yang selama ini menjadi bayang besar parti itu sendiri?

No comments:

Post a Comment