22 JUN: Selepas Pengarah
Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
memberi masa seminggu kepada kerajaan Pulau Pinang untuk memberi penjelasan
berhubung isu kadar yuran perunding bagi pembinaan tiga jalan di bawah projek
terowong dasar laut di negeri itu hari ini UMNO Pulau Pinang pula mendesak
Ketua Menteri Lim Guan Eng memperincikan bayaran kepada pemegang konsesi yang
didakwa empat kali ganda lebih mahal.
Pengerusi
Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata pihaknya
juga ingin tahu mengapa bayaran oleh kerajaan Pulau Pinang sebanyak RM177.5
juta itu dibuat lebih awal tanpa melihat kerja-kerja projek tersebut secara
fizikal.
“Kita semua maklum di Pulau Pinang,
kerajaan negeri dari semasa ke semasa memberitahu rakyat menjadi keutamaan
dalam tindakan serta agenda kerajaan negeri, jadi UMNO mewakili rakyat inginkan
penjelasan daripada Lim berhubung pembayaran awal tersebut.
“Pihak
kontraktor dan konsultan projek itu telah dibayar tetapi saya difahamkan
(projek terowong dasar laut) ditangguhkan hingga tahun depan jadi apa kerja
mereka buat dengan bayaran yang begitu banyak?” katanya kepada media selepas
Majlis Penyerahan Kuih Raya kepada anggota polis, penjara, hospital dan PLUS
yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri nanti.
Zainal
Abidin berkata kerajaan negeri seharusnya menggunakan khidmat Jabatan Kerja
Raya (JKR) yang mempunyai kepakaran dan gaya profesional tinggi serta kemahiran
dan kepakaran untuk menasihati dalam kes-kes jalan raya ataupun terowong.
“Mengapa
lantik konsultan sedangkan ada JKR untuk kerja-kerja awal. Jika tidak berpuas
hati dengan kerja JKR, kerajaan negeri bolehlah lantik konsultan tambahan
tetapi JKR langsung tidak dilantik atau dirujuk untuk menyumbang kepakaran bagi
projek itu kepada kerajaan negeri,” katanya.
Dalam
perkembangan lain, Zainal Abidin yang juga Pengerusi Majlis Tindakan
Persekutuan Negeri Pulau Pinang mahu kerajaan negeri menjalankan siasatan
dalaman dan mengambil langkah sewajarnya berhubung dakwaan berlaku
penyelewengan kuota perumahan bumiputera yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.
“Kami
mahu SPRM menyiasat perkara itu secara teliti dan meluas kerana isu perumahan
adalah penting dan merupakan agenda utama kerajaan persekutuan untuk rakyat,”
katanya.
Khamis
lepas, SPRM menahan dua individu iaitu Pengarah Urusan sebuah syarikat pemaju
perumahan dan Ketua Bahagian Jualan dan Pemasaran syarikat tersebut kerana
dipercayai terlibat dalam kegiatan pemalsuan perjanjian jual beli (S&P)
unit-unit sebuah projek kondominium di Pulau Pinang.
Pengarah
SPRM Negeri, Datuk Aziz Aban dilaporkan berkata kedua-duanya dipercayai terlibat
dalam kegiatan pemalsuan perjanjian S&P menggunakan 20 penama sebagai
pembeli kuota bumiputera bagi pembelian unit-unit kondominium di Batu
Feringghi.
No comments:
Post a Comment