Tuesday, 20 June 2017

Guan Eng Diberi Seminggu Jelaskan Peningkatan Kos Projek Terowong – Rahman Dahlan

CYBERJAYA – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diberikan tempoh seminggu untuk menjelaskan mengenai dakwaan salah guna kuasa melibatkan projek kerajaan negeri itu.
Tempoh tersebut diberikan Pengarah Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Rahman Dahlan untuk membuka ruang kepada Guan Eng memberikan penjelasan yang sewajarnya kepada rakyat Pulau Pinang.
Sekiranya dalam tempoh tersebut Guan Eng gagal untuk berbuat demikian, justeru Rahman tidak menolak akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara tersebut. 
"Kita akan berikan dokumen kepada SPRM kalau perlu. Tetapi kita bagi peluang kepada kerajaan negeri Pulau Pinang supaya mereka tidak kata kita jadikan mereka mangsa. 
"Kita ada laporan PAC dan beri peluang kepada DAP untuk jawab secara terhormat kepada persoalan kita dan kepada masyarakat Pulau Pinang tanpa perlu kita heret SPRM.
"Kalau ada kesangsian, SPRM boleh lakukan siasatan tapi kita tidak mahu terus lapor ke SPRM tanpa berikan mereka peluang untuk menjawab. 
"Dokumen yang kami ada cuma beberapa helai sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di sini, hari ini. 
Daripada maklumat yang diperoleh beliau, terdapat keraguan dalam proses pembinaan tiga jalanraya dan juga pembinaan terowong bawah tanah di negeri itu.
Kerajaan negeri dilaporkan membayar peningkatan sebanyak 400 peratus melibatkan kos rundingan bagi projek berkenaan. 
"Surat daripada Persatuan Lembaga Jurutera Malaysia menyatakan bahawa kos hanya RM41 juta. Kos rundingan untuk projek ini sepatutnya hanya RM41 juta.
"Kenapa DAP belanja RM208 juta untuk kos dan ini dibayar kepada syarikat yang telah dibayar oleh konsesi projek tersebut. Jadi itu tanda tanya yang ingin ditanya Guan Eng," soal beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

klxpress

No comments:

Post a Comment