Wednesday 24 May 2017

EXCO Pulau Pinang Ponteng Sidang DUN Pulau Pinang

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang hari ini menegur exco kerajaan negeri pimpinan DAP yang gagal menghadiri sesi perbahasan petang tadi.

Law yang menyedari separuh daripada kerusi dalam Dun Pulau Pinang itu kosong turut menegur beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri pembangkang yang gagal menyertai sesi perbahasan itu.

"Kalau ada mana-mana exco yang berada di kafetaria atau di luar dewan, sila masuk bagi menghormati persidangan kali ini bagi memastikannya berjalan lancar," katanya ketika sidang Dun hari ini.

Teguran itu dibuat Law selepas sesi perbahasan oleh Teh Yee Cheu (DAP-Tanjung Bungah) mengenai isu alam sekitar, tamat, kira-kira 6 petang tadi.

Terdahulu, Datuk Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) turut mempertikaikan 'kehilangan' lebih separuh daripada anggota exco kerajaan DAP Pulau Pinang ketika beliau membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas.

Muhamad Farid berkata, 'kehilangan' exco dan anggota dewan penyokong kerajaan itu mencetuskan persoalan kerana mereka sepatutnya turut membincangkan isu rakyat yang dibangkitkan.

"Saya mahu bercakap dengan manusia bukan dengan kerusi. Apa guna kalau kita bangkitkan usul hari ini, tetapi hanya bercakap dengan kerusi dan ini menunjukkan sikap tidak serius kerajaan negeri," katanya.

Sidang dewan sesi petang hari ini, dilihat hanya dihadiri beberapa wakil rakyat kerajaan negeri, termasuk exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Chong Eng dan exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin.

Bagaimanapun, kelibat anggota exco lain dilihat tiba di perkarangan dewan kira-kira 6.45 petang tadi bersama-sama Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Difahamkan sebahagian daripada anggota exco beredar dari dewan untuk menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan PBA Holdings Bhd di sebuah hotel di Bukit Jambul, tengah hari tadi.

No comments:

Post a Comment