Zaidatul, 24, melakar catatan masa 11.45 saat dengan bantuan angin sebanyak 0.4 saat, sekaligus memadam rekod terdahulu iaitu 11.50 saat dicatat G. Shanti pada Kejohanan Pra-Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 7 Mei 1993.
Kejayaan atlet dari Alor Setar, Kedah itu disahkan ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abas yang dihubungi Bernama, hari ini.
Zaidatul bagaimanapun menamatkan saingan di tempat kedua pada aksi final Kumpulan B di belakang atlet tuan rumah, Tamzin Thomas yang mewakili University of Western Cape (11.44 saat) manakala tempat ketiga diraih seorang lagi atlet tuan rumah, Tsaone Sebele dari University of Johannesburg menerusi catatan masa 11.48 saat.
Seorang lagi atlet kebangsaan, S. Komalam Shally menduduki tempat keempat selepas mencatat masa 11.72 saat.
Terdahulu, Zaidatul Husniah pernah memecahkan rekod kebangsaan dalam acara yang sama dengan catatan masa 11.36 saat pada Kejohanan AGN League 7 di Pretoria, Afrika Selatan, Sabtu lepas namun ia tidak diiktiraf kerana mendapat bantuan angin sebanyak 2.5 saat.
Peraturan Kesatuan Olahraga Dunia (IAAF) mensyaratkan hanya catatan dengan bantuan angin di bawah dua saat dikira sebagai rekod baharu seseorang atlet.
No comments:
Post a Comment