Monday, 6 March 2017

Usir duta Korea Utara langkah pertama, kata Najib

Adakah Malaysia akan menyemak semula hubungan diplomatik dengan Korea Utara?
“Satu langkah pada satu masa”, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjawab soalan wartawan ketika ditemui di bangunan Parlimen hari ini.
Najib yang hadir majlis pembukaan persidangan Parlimen 2017 pagi tadi berjata keputusan untuk mengusir Duta Korea utara ke Malaysia, Kang Chol, dibuat berdasarkan kepada prinsip.
“Kita negara berdaulat. Sesiapa yang datang ke sini kena hormat negara kita.
“Jika dia (Kang) mengancam atau membuat tuduhan tidak berasas terhadap Malaysia, maka dia perlu minta maaf atau menarik balik kenyataannya.
“Tetapi dia tidak buat. Jadi berdasarkan kepada prinsip kita, dia diisytiharkan sebagai pesona non grata (orang yang tidak diingini),” katanya.
Najib berkata ini membuktikan Malaysia sangat tegas dalam melindungi “maruah dan kedaulatan” negara.

Katanya, tidak ada sesiapa boleh menghina atau mempermainkan negara.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata hubungan antara 2 negara itu sudah tentu terjejas dengan kejadian pembunuhan Kim Jong Nam, abang sebapa kepada ketua Korea Utara, Kim Jong Un di klia2 pada 13 Februari.
“Kami melihat kenyataan duta Korea Utara sebagai biadab. Negara luar lain, saya percaya, jika mereka dalam kedudukan sama, mereka akan buat keputusan sama,” katanya.
Kang diarah meninggalkan Malaysia pada Sabtu, beberapa jam selepas dipanggil ke Wisma Putra.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Kang diusir selepas gagal mematuhi arahan kementerian untuk bertemu Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Raja Nushirwan Zainal Abidin.
Duta Korea Utara menuduh Malaysia berpakat dengan kuasa luar untuk memfitnah negaranya dan kerajaan Malaysia menyembunyikan sesuatu dalam siasatan terhadap kematian Jong Nam.
Pyongyang membantah siasatan pembunuhan itu walaupun polis Malaysia sudah pun menamakan seorang pegawai kedutaan Korea Utara sebagai salah seorang suspek.
Tetapi Anifah berkata kejadian terbaru, termasuk pembebasan warga Korea Utara Ri Jong Chol kerana kekurangan bahan bukti, menunjukkan yang siasatan dijalankan tanpa berat sebelah, adil dan telus.

No comments:

Post a Comment