Ketua Pemuda UMNO Wilayah, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mendakwa UMNO lebih mirip regim Korea Utara sebagai lambang klimaks kebodohan kepimpinan Dap dalam menilai dan membuat perbandingan.
Katanya lagi, sebelum membuat tuduhan dalam menjawab kenyataan Datuk Dr Puad Zarkashi itu, Teresa Kok sepatutnya mencermin muka sendiri terlebih dulu, di mana demokrasi di dalam UMNO telah terbukti dan jauh lebih baik berbanding ‘demokrasi’ yang diamalkan di dalam Dap.
“UMNO sejak dari awal ditubuhkan sehingga ke hari ini, presidennya sudah bertukar sebanyak tujuh kali. Manakala timbalan presidennya pula telah bertukar sebanyak 10 kali. Manakala setiausaha agung UMNO pula sudah berbelas kali bertukar pemimpin.
“Tetapi apa yang berlaku di dalam Dap? Sejak dari awal penubuhan sehinggalah sekarang yang menguasai Dap hanyalah dinasti Lim Kit Siang dan anak beranaknya. Teresa Kok kata kepimpinan Dap dipilih oleh perwakilan setiap tiga tahun secara telus, telus yang bagaimana? Apakah ketelusan yang dimaksudkan oleh Teresa apabila lebih 700 ahli mereka dinafikan hak mengundi?
“Apakah ‘demokrasi’ dalam Dap lebih baik daripada UMNO apabila hanya ada wajah Lim Kit Siang dan anak beranaknya sahaja yang jelas menguasai hala tuju Dap? Apakah demokrasi yang dimaksudkan oleh Teresa apabila Lim Guan Eng yang mendapat tempat ke lima undi tertinggi tetap dilantik menjadi Setiausaha Agung dengan meminggirkan mereka yang mendapat undi lebih tinggi.
“Begitu juga apabila Lim Guan Eng dilantik menjadi ketua Menteri Pulau Pinang dengan meminggirkan pemimpin-pemimpin lama Dap Pulau Pinang, apakah itu juga satu demokrasi bagi Teresa? Teresa sepatutnya berfikir dulu sebelum keluar kenyataan yang memperlihatkan kebodohannya sendiri,” tegas Razlan kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Tambah Razlan yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seputeh, inilah sikap kepimpinan Dap yang tidak pernah mengakui dan menyedari kelemahan serta kesilapan diri sendiri, sebaliknya lebih suka menuding jari kepada pihak lain untuk menutup kecelaruan ‘demokrasi’ yang diamalkan di dalam parti tersebut.
“Jika kita baca kenyataan kepimpinan Dap sejak dari mula ditubuhkan sehinggalah ke hari ini seolah-olah menggambarkan Dap itu sebuah parti yang tidak ada cacat celanya. Mereka begitu galak menuduh UMNO sebuah parti rasis, sedangkan merekalah yang terlebih rasis sebenarnya.
“Mereka menuduh UMNO sebagai regim kuku besi, sedangkan hakikatnya Dap sebenarnya sudah berpuluh tahun dikuasai oleh Dinasti kuku besi Lim dan keluarganya. Mereka berkata Dap sebuah parti terbuka dan bukan perkauman, tetapi berapa kerat sangatlah bangsa lain selain daripada bangsa Cina yang memegang jawatan penting dan tertinggi di dalam Dap.
“Saya kira, kepimpinan Dap harus sedar bahawa cop rasis dan cauvinis sudah sebati dengan parti tersebut di mata rakyat di negara ini, khususnya bagi orang Melayu, biarpun mereka bermatian cuba menafikannya.
“Jangan salahkan UMNO apabila Dap dicop sebagai parti rasis dan cauvinis, kerana ianya bukan berpunca daripada UMNO, tetapi tanggapan dan persepsi itu sebenarnya lahir daripada kenyataan dan sikap kepimpinan Dap itu sendiri terhadap rakyat di negara ini,” ujarnya.-MediaUMNO
No comments:
Post a Comment