Perbezaan pendapat di antara Malaysia dan Korea Utara perlu dibincangkan dan diselesaikan tanpa mengambil langkah-langkah ekstrem, kata Timbalan Perdana Menteri Singapura Teo Chee Hean.
Beliau mengulas perbalahan di antara Kuala Lumpur dan Pyongyang berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, tiga minggu lepas, lapor Channel NewsAsia hari ini.
"Kami memantau rapat perkembangan di sana dengan amat teliti, bukan sahaja di antara Korea Utara dan Malaysia tetapi juga Korea Utara yang begitu aktif melancarkan peluru berpandunya beberapa hari lepas," kata Teo kepada media Singapura itu di Jakarta.
"Saya berpendapat kita perlu menggalakkan Korea Utara supaya bersikap lebih sederhana dalam tindakan yang diambilnya untuk cuba memelihara keamanan dan kestabilan serta keselamatan di rantau kita," kata Teo, yang juga Menteri Penyelaras Keselamatan Nasional Singapura.
Teo berada di ibu negara Indonesia itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Persatuan Negara-Negara Pesisir Lautan Hindi (IORA) yang berakhir semalam, lapor Channel NewsAsia.
Hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Korea Utara mula terjalin pada 30 Jun 1973 dan terpelihara dengan baik selama lebih empat dekad sebelum berlakunya pembunuhan Jong-nam, yang hidup terasing daripada adiknya itu.
Malaysia membuka kedutaannya di Pyongyang pada 28 Februari 2004 dan merupakan negara pertama yang rakyatnya dibenarkan melawat Korea Utara tanpa visa. - Bernama
No comments:
Post a Comment