BUTTERWORTH - Sahabat Alam Malaysia (SAM) melahirkan rasa kebimbangannya mengenai laporan salah sebuah akhbar berbahasa Malaysia mengenai kerosakan kepada alam sekitar dengan pencerobohan spesies ikan asing, dalam kes ikan keli Afrika (Clarias gariepinus) ke dalam sungai dan ekosistem negara.
Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, spesies asing yang memasuki biologi negara ini boleh menjadi sukar untuk dikawal dan diramal.
“Salah satu bahaya besar ialah sesetengah spesies asing ini boleh menghasilkan sinergi dengan makhluk asing lain, dengan kesan bencana.
“Semakin banyak penceroboh berkumpul dalam ekosistem, ia boleh dijangkakan bahawa akan lebih merosakkan ekosistem negara,” katanya.
Katanya, penceroboh yang kelihatan tidak berbahaya selama bertahun-tahun mungkin tiba-tiba menjadi bahaya akibat perubahan faktor seperti perubahan iklim.
“Bagi SAM, kehadiran ikan keli Afrika di dalam saliran air kita amat mengejutkan kerana ia merupakan pemangsa utama yang besar, dengan itu berpotensi menyebabkan ancaman serius kepada ikan asli.
“Dan pada masa sama nelayan tempatan kita mengalami hasil tangkapan yang rendah dan pulang dengan tangan kosong,” katanya.
Menurutnya, hal ini kerana menjadi pengumpan yang oportunis, ikan keli Afrika akan memakan mana-mana spesies ikan yang begitu banyak.
“Ia bertindak balas dengan cepat kepada sumber makanan baharu yang boleh diperoleh dan akan menukar corak pemakanan untuk menyesuaikan dengan organisma yang boleh diperoleh dengan bebasnya.
“Ikan muda kebanyakannya memakan haiwan kecil yang tidak bertulang di kawasan pantai yang cetek," katanya.
Tambahnya, pelbagai faktor yang menjadikan spesies ini amat sukar untuk dikawal.
“Antaranya diet yang makan segala macam makanan, pernafasan udara secara langsung, kemampuan untuk berjalan di atas tanah, kemampuan untuk menggali dan bersembunyi di kawasan tumbuh-tumbuhan.
“Ikan keli Afrika seberat dua kilogram boleh menghasilkan 45,000 biji telor dengan ikan betina yang besar boleh menghasilkan telor yang lebih besar,” katanya.
Katanya, tambahan pula, kajian yang dijalankan pada 1972 di Afrika Tengah menyarankan bahawa spesies ini mempunyai kesan negatif ekologi yang mendalam ke atas komuniti serangga akuatik, amfibia dan bilangan haiwan tidak bertulang.
“Kepelbagaian serangga dalam susunan Chleoptera telah berkurangan sehingga 78% dan Hemiptera 66%,
“Parasit juga direkodkan pada ikan keli ini, apabila ia dipindahkan boleh menyebarkan parasit yang boleh membawa kepada kepupusan spesies ikan asli tempatan akibat kekurangan kekebalan kepada parasit baharu ini,” katanya.
Sehubungan itu, SAM menggesa Kementerian Pertanian dan Jabatan Perikanan menjalankan kajian ke atas saliran air negara di mana ikan keli Afrika pada masa ini boleh ditemui.
No comments:
Post a Comment