Lima perlawanan, lima kekalahan tanpa sebarang mata, adakah Pulau Pinang sedang dilanda krisis dalaman yang membuatkan mereka seperti sudah mengibarkan bendera putih lebih awal dalam saingan Liga Super musim ini?
"Saya tidak boleh ditemubual, kami hanya menerima arahan daripada ketua jurulatih, maafkan saya," demikian reaksi penolong ketua jurulatih, Darren Read, yang tidak mahu ditemuramah pihak media selepas perlawanan.
Ibarat retak menanti belah, kekalahan besar 1-6 di tangan Pahang menjadi kemuncak permasalahan skuad Pulau Pinang yang tampak tiada keharmonian.
Malah, Nadi Arena difahamkan pemain diarahkan tidak boleh ditemuramah pihak media dan mereka akan didenda jika mengingkari arahan berkenaan.
Sehingga kini, masih belum ada sebarang tindakan susulan daripada Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) terhadap masa depan Ashley Westwood yang mempunyai ikatan kontrak selama dua tahun.
Kapten pasukan Pahang, Matthew Davies, tidak menyangka Pahang mampu menghasilkan kebangkitan penuh bergaya untuk melakar kemenangan besar di laman sendiri.
Namun, dia mengingatkan rakan sepasukan agar tidak terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan itu jika mahu terus konsisten mencabar kejuaraan Liga Super.
"Perkara yang paling penting adalah supaya kami tidak dibuai dengan kemenangan ini, kami harus menggunakan momentum ini untuk meraih kemenangan dalam perlawanan akan datang," katanya.
No comments:
Post a Comment