Sunday, 19 February 2017

Peserta tak berganjak walau hujan lebat di Padang Merbok


Peserta Himpunan RUU 355 tidak berganjak walaupun hujan lebat di Padang Merbok sebentar tadi.
Pemerhatian FMT mendapati hujan lebat turun ketika pemimpin PAS, beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) dan NGO menunaikan solat maghrib berjemaah di ruang terbuka pada jam 7.28 malam tadi, yang disusuli solat hajat.
Antara pemimpin yang hadir adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki; Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri; Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.
Jamil Khir yang sedang berucap di atas pentas ketika ini mengenai RUU 355 menyifatkan ia adalah hujan rahmat.

Hujan sekejap renyai-renyai dan tiba-tiba menjadi lebat tidak menghalang peserta Himpunan RUU 355 untuk terus berada di Padang Merbok bagi mendengar ucapan pemimpin.
RUU persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibawakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah untuk menghukum pesalah Islam.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali dilaporkan berkata, penyokong parti Islam itu menghadiri Himpunan RUU 355 di Padang Merbok hari ini demi mendapat ganjaran pahala, bukannya wang ringgit.
Katanya, kebanyakan penyokong PAS mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk datang ke ibu negara dan menghadiri perhimpunan itu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman dalam satu kenyataan berkata, kira-kira 20,000 orang menghadiri Himpunan RUU 355 di Padang Merbok, setakat jam 6 petang tadi.

No comments:

Post a Comment