Monday, 27 February 2017

Arab Saudi Yakin dengan Kepimpinan Najib



Lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud yang bermula hari ini menunjukkan Arab Saudi mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kepemimpinan negara yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Roselina Ahmad Saufi berkata, ini ke­rana Arab Saudi yang merupakan sebuah kuasa besar di rantau Asia Barat sangat teliti dalam menjalinkan hubu­ngan diplomatik serta kerjasama perniagaan dengan negara-negara lain.

“Jika kita lihat Arab Saudi hanya menjalinkan hubu­ngan dua hala yang baik dengan negara-negara tertentu, yang mempunyai hasil bumi tersendiri se­perti Amerika Syarikat.


“Lawatan Raja Salman membuktikan Arab Saudi yakin dengan kekuatan Malaysia setelah menilai dari pelbagai sudut antaranya kepimpinan, ekonomi dan kemakmuran masyarakat pelbagai kaum,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, kunju­ngan Raja Salman itu juga memberi isyarat bahawa keyakinan antarabangsa terhadap kepimpinan negara ini masih utuh.

“Berita kunju­ngan Raja Salman ke Malaysia adalah sesuatu yang mengujakan rakyat Malaysia.
“Dalam situasi tohmahan terhadap kepe­mimpinan Najib dibuat oleh pihak-pihak tertentu sehingga ke pe­ringkat antarabangsa, tiba-tiba Raja Salman berkenan untuk melawat Malaysia.

“Apa yang pasti, sejak era kepimpinan Najib, hubu­ngan Malaysia-Arab Saudi bertambah erat,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pe­ngajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, hubungan Malaysia dan Arab Saudi yang sebelum ini telah terjalin sejak sekian lama terus diperkukuhkan dengan kunjungan Raja Salman itu.

“Kepimpinan Najib juga menjadi elemen utama yang menjadi penyumbang kepada persetujuan Raja Salman berkenan berangkat ke negara ini dan ia dilihat sebagai timbal balik ke atas hubungan dua hala yang dijalin sebelum ini,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment