Sunday 11 December 2016

Tolak Gesaan Bercuti BUKTI Lim Guan Eng Pentingkan Diri



Sejak Lim Guan Eng , Ketua Menteri Pulau Pinang dikenakan pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah oleh mahkamah ramai pihak telah tampil dan menyarankan supaya Ketua Menteri ini segera bercuti daripada menjalankan tugasnya.

Gesaan demi gesaan ini bukan sahaja hadir daripada parti-parti politik pro kerajaan BN tetapi juga hadir daripada mereka-mereka yang dulunya pernah bersama DAP.Tidak cukup dengan itu Ahli DAP sendiri pun sudah membuka mulut dan mahukan perkara yang sama dilakukan oleh Guan Eng.

Terbaru gesaan tersebut dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda MCA negeri, Ang Chor Keong apabila beliau mahu supaya Guan Eng berbuat demikian bagi memastikan pentadbiran negeri tidak terganggu dan demi kepentingan rakyat Pulau Pinang.

"Sebelum ini mungkin beliau (Guan Eng) tak perlu ambil cuti, tapi kini mahkamah dah tetapkan tarikh perbicaraan, jadi demi kehendak dan kepentingan rakyat beliau perlu bercuti sementara.

"Tugas ketua menteri berat, ia melibatkan pertumbuhan ekonomi, kebajikan rakyat termasuk kemasukan pelaburan asing," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Sebelum ini Teh Yee Cheu (DAP-Tanjung Bungah) turut menggesa supaya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk menarik diri daripada mempengerusikan Jawatankuasa Perancangan Negeri (SPC) atau Jawatankuasa Tanah sementara menunggu perbicaraan dakwaan rasuah terhadap dirinya selesai.

"Kebiasaannya, kami menggesa ahli politik mengambil cuti sementara membolehkan siasatan terhadapnya dilengkapkan. Jika cadangan seperti ini susah untuk diterima, maka langkah lebih progresif boleh diambil di mana-mana demi keadilan, pemimpin itu dinasihatkan untuk tidak mempengerusikan dan menguruskan perkara dalam SPC atau Jawatankuasa Tanah buat masa ini sehingga keputusan akhir mahkamah".

Manakala pada Mac 2016 yang lalu Parti Alternatif Rakyat (PAP) mendesak anggota-anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang membawa usul khas tergempar untuk menggantung sementara Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.

Perkara tersebut disuarakan sendiri oleh setiausaha parti serpihan DAP itu, Rahmad Ishak kepada pemberita pada sidang akhbar sebelum ini.

“Semua ahli DUN yang diberi mandat oleh rakyat, wajar menjalankan tugas mereka dengan minta Speaker DUN untuk mengadakan persidangan tergempar bagi membawa usul penggantungan Ketua Menteri,” kata Rahmad.

“Langkah ini perlu dilakukan sehingga pihak SPRM mengesahkan Guan Eng bebas daripada sebarang salah laku kuasa berkaitan skandal banglo murahnya dengan isu tanah Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin,” tegasnya.

Berdasarkan kepada gesaan-gesaan tersebut kita dapat melihat bahawa ia bukanlah terarah kepada polemik politik tetap lebih kepada soal kepentingan rakyat.

Rata-rata yang menyuarakan gesaan tersebut melihat dalam konteks yang lebih besar memandangkan kedudukan Ketua Menteri itu sebenarnya merupakan tanggungjawab yang besar.

Sebagai Ketua Menteri peranannya bukan sahaja terarah kepada hal-hal melibatkan politik semata-mata tetapi melibatkan hal ehwal berkaitan pelaburan , kedudukan ekonomi , perancangan bandar dan luar bandar selain daripada hal melibatkan kepentingan orang awam dan urusan pentadbiran yang tidak boleh sama sekali dicampur aduk dengan isu yang membebankan kerana ia berpotensi untuk gagal.

Natijahnya kegagalan yang berlaku itu bakal memberikan impak kepada semua pihak termasuklah warga marhaen.

Oleh kerana itu gesaan supaya Guan Eng bercuti ada asasnya.

Kegagalan Guan Eng untuk bercuti bererti Ketua Menteri Pulau Pinang ini langsung tidak mengutamakan rakyat sebaliknya bersikap pentingkan diri sendiri.

Untuk rekod Mahkamah telah menetapkan 34 hari bermula 27 Mac 2017 bagi perbicaraan kes rasuah Guan Eng dan Phang dimulakan dan keputusan ini tidak boleh dipinda kerana peguam kedua-dua pihak pendakwa dan pembela turut sama bersetuju.

No comments:

Post a Comment