Pemimpin BN dan PAS berkongsi pentas hari ini bagi menyatakan bantahan terhadap penindasan kerajaan Myanmar ke atas etnik Rohingya.
Antaranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Ini kali kedua Najib berkongsi pentas dengan Abdul Hadi pada tahun ini, selepas perhimpunan alumni Universiti Al-Azhar beberapa bulan lalu.
Ribuan memenuhi Stadium Titiwangsa dan kawasan sekitar bagi menyertai Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya anjuran bersama Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) dan pelbagai NGO Islam.
Setakat ini beberapa pemimpin sudah menyampaikan ucapan, dan rata-rata menggesa umat Islam bersatu agar dapat membantu etnik Rohingya yang beragama Islam.
“Tidak mungkin orang lemah boleh membantu orang yang juga lemah.
“Jadi apabila kita melihat orang Rohingya ditindas, umat Islam perlu menjadi kuat dan ini tidak boleh dicapai melainkan dengan kesatuan,” kata Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz.
Turut hadir Menteri Wilayah Tengku Adnan Mansor, Datuk Ismail Sabri dan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.
No comments:
Post a Comment