Saturday, 3 December 2016
#PAU2016 : Penahanan Maria Chin, SUHAKAM Berat Sebelah Kata Perwakilan P. Pinang
KUALA LUMPUR - UMNO perlu bertindak dengan lebih efisien di dalam mendidik rakyat supaya tidak terus mempercayai bulat-bulat maklumat yang disebarkan terutamanya menerusi media sosial.
Selain itu, menurut wakil UMNO Pulau Pinang, Datuk Ir Dr Shaik Hussein Mydin, parti itu juga perlu lebih pantas memberikan respon kepada rakyat apabila timbul sesuatu isu.
"Kita perlu 'educate' (mendidik) dan kita perlu cepat. Apabila ada isu kita perlu cepat respon dan kita perlu educate rakyat jangan terus percaya apa yang keluar di media sosial," katanya.
Di dalam ucapannya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO yang ke-70 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, beliau turut mengingatkan anggota UMNO supaya tidak terlalu selesa di negeri yang masih dikuasai.
Usaha katanya perlu digerakkan bagi memastikan negeri-negeri tersebut tidak menerima nasib yang sama seperti Pulau Pinang di mana kerajaan negeri pimpinan DAP itu langsung tidak mempedulikan hak rakyat.
"Untuk negeri yang masih kita pegang selesa, jangan syok sangat. Benda dah jadi di Pulau Pinang apabila DAP memerintah.
"Jangan lagi bagi terlepas pada mereka nanti rakyat akan susah.
"Pasal orang Melayu di Pulau Pinang sudah berasa betapa susahnya kita apabila diperintah oleh DAP.
"Jadi orang Melayu tidak ada pilihan lain. Yang memperjuangkannya hanyalah UMNO. Jadi kita fokuskan UMNO," katanya.
Mengulas mengenai isu penahanan Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) ujar beliau bukanlah satu organisasi yang benar-benar berwibawa.
Ini kerana katanya organisasi tersebut terlampau berat sebelah dan hanya memihak kepada kumpulan yang menentang kerajaan.
Beliau turut menggesa kerajaan supaya menggunakan undang-undang yang ada dengan sebaik-mungkin bagi membasmi pihak-pihak yang mempunyai agenda jahat.
Ini katanya termasuk juga terhadap anggota UMNO sendiri sekiranya ada di kalangan mereka yang melanggar undang-undang.
"(Kalau) Saya buat salah saya kenalah. Dan kalau depa (pembangkang) buat salah, depa (mereka) pun kena. Tangkap semua. Kita gunakan kuasa yang kita ada, guna undang-undang.
"(Kalau) Tangkap pemuda UMNO, tangkap juga mereka. Sekarang zaman kita berjuang, zaman pemuda UMNO sedia masuk lokap. Saya minta (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Zahid tangkap Pemuda yang buat jahat, takpa.
"Suhakam pi melawat (Maria Chin) tapi tak melawat saya. Suhakam tak melawat saya maknanya mereka ini biased (berat sebelah).
"Kita kena ingat mereka semua ini orang yang agendanya lain. Mereka guna undang-undang perbodoh kita. Lepas ini kita guna undang-undang pekena mereka," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment