Saturday, 3 December 2016
#PAU2016 : Medan Ukhuwah Dan Silaturrahim Ahli-Ahli UMNO
Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara yang sedang berlangsung terbukti menjadi medan untuk ahli UMNO dan para perwakilan untuk mengukuhkan ukhwah serta mengeratkan silaturrahim sesama ahli.
Biarpun diselubungi khabar angin dan fitnah bahawa PAU tahun ini agak lengang dari kehadiran pengunjung, tetapi ia dibuktikan tidak benar apabila suasana dalam PWTC begitu meriah dan sesak dengan pengunjung sejak hari pertama PAU diadakan pada 29 November lepas.
Kawasan letak kereta begitu sesak dan penuh sehingga kereta lain dihalang daripada masuk meletakkan kereta menjelang waktu tengah hari.
Mereka yang datang terpaksa mencari kawasan letak kereta lain jauh sedikit dari kawasan PWTC untuk meletakkan kereta seterusnya perlu berjalan kaki ke lokasi perhimpunan.
Keadaan Dewan Merdeka di Aras 4 yang menjadi lokasi PAU juga penuh dengan para Perwakilan mendengar perbahasan mengikut usul dari wakil-wakil negeri dan sayap UMNO.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden juga sudah mengakui bahawa ucapan para Perwakilan juga sudah tidak dipenuhi gurauan sia-sia sebaliknya gurauan yang penuh dengan mesej yang tersirat.
Kesetiaan dan kesungguhan para Perwakilan mendengar perbahasan juga menunjukkan para ahli UMNO semua mengamalkan sikap wala' dan kesetiaan kepada parti seperti yang diperkatakan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.
Selain itu, PAU 2016 kali ini juga memberikan tempias rezeki kepada para peniaga yang menjual barang jualan apabila mereka mendapatkan jualan kutipan yang tinggi ekoran ramainya pengunjung dan orang ramai yang datang ke PWTC untuk menyertai PAU pada kali ini.
Di gerai-gerai jualan berkenaan juga, ramai artis yang datang untuk membantu peniaga berjual menunjukkan kutipan jualan mereka yang tinggi.
Jika jualan tidak laku, masakan artis terkenal seperti Fasha Sandha mahu hadir ke PWTC untuk sama-sama merasai kemeriahan perhimpunan agung.
Selain itu, difahamkan kehadiran para Perwakilan yang paling tinggi adalah dari Bahagian Pagoh di Johor dan dari Semporna, Sabah apabila bilik yang ditempah oleh mereka begitu banyak dari Bahagian UMNO yang lain.
Ini menunjukkan Bahagian Pagoh dan Semporna tidak terjejas langsung dengan perbuatan bekas Ketua Bahagian mereka sebelum ini iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Wajah ceria dan mesra para Perwakilan jelas menunjukkan UMNO sedang masuk ke dalam fasa 'rebuilding' dan mengeratkan semula perpaduan sesama ahli selepas isu-isu melibatkan musuh dalam selimut sudah selesai selepas mereka dipecat dari UMNO.
Tulisan :
Beruang Biru
BB169, Sabtu
3 Disember 2016
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment