Wednesday, 16 November 2016

Penang Institute Gagal Jawab 12 Soalan


KUALA LUMPUR, 15 Nov -- Setiausaha Agung Gerakan Datuk Liang Teck Meng berkata badan pemikir Pulau Pinang, Institut Pulau Pinang gagal memberikan jawapan terhadap 12 soalan dikemukakan parti itu mengenai prestasi ekonomi Pulau Pinang sejak DAP mengambil alih pentadbiran negeri itu.

Beliau berkata institut di bawah pimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang itu tidak memberikan jawapan walaupun selepas hampir sebulan tempoh diberikan.

"Oleh itu, saya sendiri akan memberikan jawapan kepada 12 soalan itu nanti dan jika jawapan itu tidak betul, saya mengalu-alukan Penang Insitute membetulkan saya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Katanya antara 12 soalan itu termasuk peratusan pertumbuhan terkumpul keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita negeri Pulau Pinang; apakah kedudukan negeri tersebut dalam kalangan negeri dan wilayah-wilayah Malaysia serta berapakah perbelanjaan mengurus pada tahun 2013, 2014 dan 2015.

Beliau berkata kerajaan DAP Pulau Pinang perlu berhenti dalam pembohongan politik dan propaganda untuk menyembunyikan keadaan ekonomi di negeri itu.

Liang sebelum ini dilaporkan beberapa kali mempersoal kedudukan ekonomi Pulau Pinang dari tahun 2008 hingga 2015 sambil merujuk kepada statistik Jabatan Perangkaan Malaysia dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment