Friday, 18 November 2016

Bunuh Diri terjun Jambatan Syahid - Mujahid



Pengerusi Amanah Pulau Pinang menyifatkan Mohd Shukri Saad yang terjun dari Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah selepas didakwa menjual rokok seludup bernilai RM365 sebagai mati syahid dan marhaen rajin.

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, tindakan peniaga itu menamatkan riwayat hidupnya dengan “berkorban untuk Malaysia” adalah pembuka mata terhadap penderitaan rakyat jelata di negara ini.
“Shukri bukan seseorang yang dipuji ramai, bukan orang terkenal atau ahli JKKK. Shukri hanya marhaen yang cuba mencari nafkah seperti orang lain.

“Walaupun dia melakukan perkara kejam dengan mengambil nyawanya sendiri, itu antara dia dan Allah. Saya harap Allah akan ampunkannya atas dosa-dosanya.

“Tetapi, lebih penting, dia cakap sesuatu yang ahli politik tidak boleh kata. ‘Biar aku berkorban untuk Malaysia’. Ini adalah kenyataan yang menyebabkan rakyat Malaysia bertindak dan berfikir mengenai kekejaman Malaysia,” kata Mujahid.

Shukri yang berasal dari Tasek Gelugor, Butterworth, memuat naik nota bunuh diri di Facebook sebelum dia terjun dari Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di Pulau Pinang, pada 26 Oktober lalu.

Mayat peniaga kedai runcit berusia 38 tahun itu ditemui terapung dengan batu terikat pada badannya kira-kira satu batu nautika dari lokasi dia terjun, dekat kawasan Batu Maung, pada 28 Oktober lalu.

Katanya, keputusan membunuh diri itu diambil selepas Jabatan Kastam mendakwanya menjual “rokok murah” berjumlah RM360, satu kesalahan yang boleh menyebabkan dia dipenjarakan.

Shukri mengkritik kerajaan dan pihak berkuasa memaksa dia membayar “ribuan ringgit” untuk ikat jamin dan denda.
Melalui catatan di Facebooknya, dia memaklumkan pernah ditahan 2 kali, iaitu pada 2012 dengan rokok bernilai RM160 dan kali kedua pada Februari lalu untuk rokok berjumlah RM200.
Sementara itu, Mujahid berkata, tindakan Shukri menunjukkan agensi penguatkuasaan kerajaan menyasarkan rakyat biasa melakukan jenayah yang hakikatnya boleh diklasifikasikan sebagai kesalahan kecil.

“Nampaknya apabila kecurian kecil berlaku, orang menjerit kuat. Tetapi, apabila perdana menteri mencuri sesuatu, senyap seribu bahasa.
“Dan apabila orang miskin mencuri, pendakwaan dibuat serta-merta. Tetapi, apabila orang kaya mencuri, tiada apa dilakukan. Kadangkala mereka dilepaskan.

“Sudah tentu kita tidak boleh membiarkan salah laku Shukri, tetapi isu di sini ialah adakah ia adil?” soal Mujahid.

Beliau mengaitkan Shukri kepada Mohamed Bouazizi, seorang rakyat Tunisia yang membakar dirinya kerana layanan buruk kerajaan yang turut menyumbang kepada Revolusi Tunisia dan kebangkitan rakyat Arab menentang kerajaan.
“Lelaki ini seperti Shukri. Dia sekadar jual buah-buahan untuk sara hidup, tetapi kerajaan dan polis sering sasarkan dia atas kesilapan kecil. Ini bukan sesuatu yang anda pergi ke Bersih dan dapat jawapan anda. Orang itu tertekan.

“Selepas gagal mendapat respons kerajaan, Mohamed membakar dirinya. Dari sana, revolusi bermula. Presiden Zine El Abidine Ben Ali terpaksa berundur akibat tekanan rakyat.

“Tetapi, ia hanya menunjukkan apabila rakyat kecewa, ini boleh berlaku. Dalam kes ini, apabila mereka marah, diktator seperti 

Hosni Mubarak boleh digulingkan,” kata Mujahid.
Beliau berkata demikian di hadapan 100 hadirin di Dewan Muhibbah, Merbau Kudung sebagai sebahagian daripada Forum “Biar Aku Berkorban Untuk Malaysia”.

Panel lain termasuk bekas timbalan menteri, Datuk Seri Sharif Omar; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

FMT

No comments:

Post a Comment