Monday, 31 October 2016
Hentikan semua projek pembangunan sehingga masalah banjir selesai
GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna-pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri supaya menghentikan semua projek pembangunan sehingga masalah banjir tidak lagi menghantui penduduk di negeri ini.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) N.V Subarrow berkata kejadian banjir kilat yang sering berlaku di negeri ini amat membimbangkan dan semakin buruk.
"Semua projek pembangunan mesti dihentikan serta-merta bagi mengatasi masalah banjir. Banyak kawasan sebelum ini yang tidak pernah dilanda banjir, kini dinaiki air disebabkan sistem perparitan yang sudah ketinggalan zaman dan pembangunan berlebihan," katanya kepada Bernama di sini semalam.
Subarrow berkata banjir kilat itu turut menyebabkan kemeriahan sambutan Deepavali, yang juga dikenali sebagai pesta cahaya, bertukar suram apabila banyak rumah digenangi air.
"Kenderaan menjadi rosak, kerugian beribu-ribu ringgit, dan tiada apa yang dilakukan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah banjir ini," katanya.
Petang kelmarin, banjir kilat melanda beberapa kawasan di daerah Timur Laut Pulau Pinang, mengakibatkan kesesakan lalu-lintas dan penutupan jalan berikutan kenaikan paras air.
Lebih 600 orang dari pelbagai lokasi terjejas akibat banjir itu dan Jabatan Pengairan dan Saliran menyimpulkan bahawa sistem saliran yang tidak sistematik adalah satu daripada punca banjir selain hujan lebat di luar jangkaan.
Kira-kira 20 mangsa dari Jalan P. Ramlee dipindahkan dari rumah mereka dan dibawa ke Masjid Hashim Yahaya berdekatan Jalan Perak untuk berteduh dan pada 12.30 malam, air kembali surut dan jalan raya dibuka semula kepada lalu-lintas.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu-lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow menggesa kerajaan persekutuan supaya meluluskan peruntukan RM350 juta bagi mengurangkan masalah banjir kilat di negeri ini. -- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment