Monday, 8 August 2016

Parti Komponen BN Pulau Pinang Digesa Main Peranan Untuk Menang PRU14


NIBONG TEBAL, 7 Ogos (Bernama) -- Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang hari ini digesa memainkan peranan mereka untuk memastikan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-14 nanti.

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata selain UMNO, parti-parti komponen BN negeri harus memainkan peranan mereka dengan mendekati pengundi- pengundi sebagai persiapan menghadapi PRU.

Katanya, fokus UMNO adalah kepada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai majoriti kawasan Melayu dan sokongan parti-parti komponen lain penting untuk memenangi kerui-kerusi yang selebihnya.

"Jangan biar UMNO sahaja yang membuat kerja, bangkit dan berusaha untuk bekerja untuk memastikan kemenangan milik BN pada PRU nanti. Mereka harus menggunakan pendekatan kerja yang baharu untuk memenangi undi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Nibong Tebal di sini hari ini.

Beliau berharap parti-parti komponen lain dapat mencontohi UMNO khususnya Pergerakan Wanita yang akan membuat banci dari rumah ke rumah untuk lebih mendekati dan memahami penduduk di kawasan itu.

"Kaedah lama seperti penganjuran majlis makan-makan sudah tidak laku, kita kena buat kerja dan buat pembaharuan untuk mendapat sokongan rakyat," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata BN akan mengguna pakai metodologi baharu dalam mengenal pasti calon-calon dalam persiapan untuk menghadapi PRU ke-14.

Katanya, pemilihan calon-calon untuk PRU nanti akan berdasarkan penerimaan rakyat dan kaji selidik akan dibuat sebelum seseorang calon itu dipilih untuk mewakili BN.

"Senarai nama yang dipilih oleh setiap bahagian akan ditapis dan diuji oleh pucuk pimpinan supaya seseorang calon itu bukan sekadar popular dalam kalangan anggota parti sahaja tetapi juga popular dalam kalangan rakyat kawasan," katanya.

Katanya, kaedah baru ini ternyata berhasil setelah digunakan pada Pilihan Raya Kecil di Sungai Besar dan juga Kuala Kangsar yang mana BN telah berjaya memenangi kedua-dua kerusi itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment