Wednesday, 3 August 2016

Batal PRN P.Pinang Bukan Kerana Konsensus Tapi Masalah Rebut Kerusi


KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berpandangan pembatalan cadangan Dap untuk mengadakan pilihan raya negeri Pulau Pinang bukanlah berasaskan kepada persetujuan bersama namun ianya adalah disebabkan kegagalan atau perebutan dalam soal pengagihan kerusi untuk ditandingi.

Menurut beliau perkara ini bukanlah menjadi rahsia lagi apabila sudah terdengar dakwaan PKR yang dikatakan cuba mendapatkan beberapa kawasan di negeri berkenaan sekiranya benar-benar berlaku pembubaran Dewangan Undangan Negeri (DUN).

“Mereka sememangnya bijak bermain wayang sandiwara dengan alasan kononnya atas persetujuan bersama… secara konsensus serta menghormati pandangan rakan-rakan dan sebagainya lagi tetapi hakikatnya masing-masing ghairah memperjuangkan agenda peribadi mereka.

“Kita tahu masing-masing tidak akan mengalah dan tidak sanggup kehilangan kerusi.  Oleh itu walaupun mereka memberikan alasan kononnya keputusan mereka kerana konsesus, kebersamaan tetapi hakikatnya mereka saling berbalah dalam merebut kerusi pilihan raya.  Jika ini tidak benar sudah pasti tidak timbul dakwaan PKR menuntut kerusi yang dimiliki Dap,”

Kata beliau lagi bukan mustahil PKR juga sememangnya meminta kerusi tambahan semata-mata untuk menutup malu yang kemungkinan besar mereka akan kalah di beberapa kerusi yang ada sekarang termasuk Penanti dan Serang Jaya sekiranya berlaku PRN.

Sebelum ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebelum ini berkata Dap membatalkan keputusan untuk mengadakan pilihan raya mengejut di negeri itu kerana pimpinan PKR berpendirian bahawa ia tidak perlu.

Lim mendakwa PKR ketika mengadakan perbincangan dengan Dap memberikan syarat agar parti itu memberi ‘satu atau dua’ kerusi DUN negeri itu jika tetap mahu mengadakan pilihan raya negeri mengejut.

Manakala Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam memberikan reaksi terkejut apabila diminta mengulas mengenai dakwaan tersebut.

Bagaimanapun selepas diasak beberapa kali ketua pembangkang itu berkata isu mengenai pilihan raya mengejut Pulau Pinang telah selesai menerusi pengumuman setiausaha agung Dap itu.

Zaidi seterusnya menambah perkembangan mutakhir dalam politik pakatan pembangkang itu hanya menyerlahkan bagaimana kalutnya mereka dalam menyelesaikan isu yang timbul.

“Itu hanya melibatkan soal pembubaran DUN pun macam-macam yang kita dengar dan pelbagai aksi serta drama yang dapat kita tonton. Sekejap mesyuarat…sekejap itu dan sekejap ini. Namun itulah parti pembangkang yang hanya minat berpolitik sepanjang masa,” ujarnya.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menyifatkan dakwaan bahawa parti itu meminta ‘satu atau dua’ kerusi milik Dap di Pulau Pinang sebagai selesai.

“Dakwaan (PKR minta kerusi)? Saya dah keluarkan kenyataan jadi tak timbul isu dua kerusi,” kata Azmin kepada pemberita di lobi Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam.

No comments:

Post a Comment