Wednesday, 27 July 2016
UMNO JANGKA MENANG 15 KERUSI JIKA PRN PENANG DIADAKAN
DALAM kerancakan penguasa di negeri Pulau Pinang iaitu DAP mahu mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, rakan sekutunya pula dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih belum meletakkan kata putus yang konkrit walaupun telah bermesyuarat panjang.
Di sebuah mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada malam 26 Julai, PKR berpendirian bahawa parti itu masih tidak berasa yakin untuk menghadapi PRN Pulau Pinang sepertimana yang dikemukakan oleh pihak DAP sebelum ini.
Di peringkat DAP pula, mereka mungkin telah menjangkakan bahawa Setiausaha Agung yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bakal menerima hukuman setimpal melalui kes skandal banglo miliknya tersebut.
Nada Guan Eng sekarang ini seolah-olah dia “berkemungkinan besar bakal di hantar ke penjara atas tuduhan rasuah”.
Bagaimanapun berbeza pula senario yang diperhatikan melalui sudut pandang parti kerajaan. Menurut beberapa pemerhati politik dan sumber tempatan, parti UMNO mempunyai peluang yang cukup cerah untuk memenangi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya berlaku PRN Pulau Pinang dalam masa terdekat ini.
Disamping terus mengekalkan 10 kerusi sedia ada, UMNO dilihat mampu menggugat lima (5) lagi kerusi DUN yang sebelum ini dimenangi oleh parti pembangkang.
Namun demikian, sumber berkenaan tidak mahu menjelaskan lima kerusi DUN berkenaan atas beberapa faktor yang tidak boleh dielakkan.
Antara sebab lima kerusi DUN ini bakal dikuasai oleh UMNO adalah kerana perpecahan dalam kalangan parti komponen pembangkang yang sudah mencapai ke tahap barah sekarang ini.
DAP katanya hanya mementingkan “diri sendiri” dalam mencari sokongan rakyat khususnya dari kalangan bangsa Cina dan Melayu, manakala PKR Pulau Pinang pula semakin bertambah lemah semenjak Ketua Umum mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara buat kali kedua.
Bukan sahaja semakin ketandusan pemimpin berkaliber, malah PKR Pulau Pinang juga dikatakan seperti “hidup segan mati tidak mahu” walaupun presidennya merupakan juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Parti Amanah Negara (PAN) mungkin tidak mempunyai banyak isu, kerana parti itu lebih banyak mengikut telunjuk dan arahan DAP. Cumanya, PAN berhadapan dengan kepercayaan rakyat terhadap mereka yang masih baharu dan tidak memiliki gambaran sebagai sebuah parti politik yang mampu membela nasib rakyat.
Manakala PAS pula sudah “berpatah arang” untuk menentang DAP dalam mana-mana pilihan raya yang diadakan di negara ini. Setelah dilukai dan dijadikan “balaci” oleh DAP, PAS sekarang ini berhasrat untuk menentang DAP di mana-mana kawasan DUN yang akan mampu membawa kemenangan buatnya.
Porak peranda politik pembangkang ini sebenarnya telah menginsafkan ramai pihak dalam UMNO itu sendiri untuk terus bersatu dan mengutamakan perjuangan parti. Oleh itu, UMNO Pulau Pinang dilihat terus menerus menggerakkan usaha dalam membantu rakyat di negeri berkenaan.
Usaha berterusan ini akhirnya terbukti berkesan dan kini rakyat Pulau Pinang rata-rata telah “insaf” dan kembali memberi sokongan kepada parti UMNO dan Barisan Nasional (BN). Maka tidak mustahil sekiranya berlaku PRN Pulau Pinang dalam masa terdekat ini, parti UMNO dan BN mampu menambah kerusinya lagi. –Tv14
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment